DN Selangor], — Ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor petang ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi, menekankan kepentingan kerajaan negeri memberi keutamaan kepada kemudahan sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Selangor, khususnya di kawasan Seri Serdang.
Abbas berkata, KAFA merupakan institusi penting bagi membentuk asas pendidikan agama anak-anak, namun masih terdapat premis yang berada dalam keadaan daif dan tidak selesa untuk digunakan.
“KAFA ini tempat anak-anak kita mendapatkan ilmu al-Quran dan Fardu Ain. Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi perhatian kepada KAFA. Namun tumpuan kepada infrastruktur sedia ada perlu dipertingkatkan, terutama di kawasan Seri Serdang.
Kita tidak mahu anak-anak belajar dalam keadaan tidak selesa, sedangkan Selangor adalah negeri maju,” katanya.
Menurut beliau, usaha menaik taraf infrastruktur KAFA bukan sahaja akan meningkatkan mutu pendidikan agama di negeri ini, malah memastikan generasi muda mendapat suasana pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.
Selain isu KAFA, Abbas Azmi turut menyentuh mengenai keberkesanan Program Pemerkasaan Anak Muda di bawah kerajaan negeri. Program itu kini tidak hanya tertumpu kepada wacana ilmiah, tetapi turut merangkumi perbincangan mengenai politik tanah air, isu semasa dan perkembangan politik dunia.
Beliau menegaskan bahawa pendedahan awal kepada ilmu politik mampu melahirkan generasi muda yang berfikir secara kritis dan tidak sekadar mengikut secara membuta tuli.
“Program ini mendedahkan mereka kepada kepentingan menguasai politik dengan cara yang betul. Ia akan melahirkan anak muda yang berfikir kelas pertama, bukan hanya menjadi pengikut secara ‘khinzir buta’.
Diskusi perlu diperluaskan skopnya, dan saya yakin program ini mampu membentuk generasi muda yang matang dalam berpolitik.”
Abbas turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor atas pelaksanaan program berkenaan melalui PBS yang semakin memberi kesan positif kepada golongan belia di negeri ini.