Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Seri Serdang, Abbas Azmi semalam menziarahi keluarga Muhammad Harith Mohd Fazrul, 12, yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di sekolah agama di Seri Kembangan, Rabu lalu.
Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor itu turut diiringi Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Abbas juga mewakili Dato Menteri Besar Selangor menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut.
Abbas berkata sumbangan khas itu tanda solidariti dan kepedulian Kerajaan Negeri terhadap pemergian dan kehilangan dialami keluarga berkenaan.
“Di harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga ini mendepani cabaran yang mereka hadapi,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada bapa mangsa, Mohd Fazrul Mohd Nasir, 40.
Mengulas lanjut, Abbas berkata beliau sudah melawat ke sekolah berkenaan dan meminta siasatan terperinci dijalankan berhubung kejadian renjatan elektrik hingga meragut nyawa seorang pelajar.
“Saya ke tapak kejadian pagi semalam dan kebetulan bertemu dengan Pegawai Unit Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
“Saya nyatakan kepada pihak terlibat supaya dibuat penyiasatan terperinci. Kalau boleh buat kajian forensik dan minta supaya hasil laporan diberikan kepada pihak saya dan Kerajaan Negeri untuk mengetahui apa punca berlaku renjatan elektrik ini,” katanya.
Beliau berkata perkara itu perlu dipastikan tidak berulang lagi dan pihak berwajib perlu memastikan premis memiliki sijil layak menduduki bangunan (CF) atau Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CCC).
“Saya rasa sudah sampai masanya ambil inisiatif tegas untuk keselamatan anak-anak kerana saya difahamkan banyak lagi premis sekolah terutama Kafa tidak mempunyai sijil layak menduduki bangunan (CF) atau Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CCC).
“Saya juga sudah bincang dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kadar segera kita lihat satu-satu Kafa yang ada dalam DUN Seri Serdang khususnya, pastikan proses untuk dapatkan CF atau CCC itu,” katanya. -SelangorKini