SelangorToday

ADN SUNGAI RAMAL USUL PERUNTUKAN PEMBANGUNAN ADN DINAIKKAN 25%

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar mengusulkan agar Dana Peruntukan untuk setiap Ahli Dewan Negeri pada tahun 2023 dinaikkan 25%. Sebelum ini dana peruntukan buat ADN Selangor adalah sebanyak RM800 ribu setahun. Namun atas faktor pertambaha pengundi yang naik secara mendadak sehingga 40%, menyebabkan dana peruntukan ini wajar dinaikkan.  Mazwan yang juga Bendahari AMANAH Selangor mengusulkan cadangan tersebut ketika membahaskan usul Bajet 2023 Selangor minggu lalu. Tegas beliau, banyak manfaat dan keperluan yang boleh diberikan kepada rakyat jika peruntukan itu ditambah termasuk musibah banjir, kebakaran dan kategori terciri.

Mazwan kerap menyantuni ahli kariah surau dan masjid sekitar Sungai Ramal

Selain itu, beliau juga mohon garis panduan kategori penggunaan dana peruntukan ADN dikemaskini semula apabila ia dilihat terkebelakang dalam keadaan semasa. Mazwan memberi contoh, peruntukan kategori penggunaan boleh digunakan untuk membina titi, namun di kawasan beliau tiada keperluan untuk membina titi, sebaliknya banyak tuntutan diperlukan untuk menyumbang penghawa dingin tetapi tidak boleh menggunakan dana kategori penggunaan. Begitu juga dengan perihal sumbangan kewangan untuk pendawaian elektrik juga tidak dapat menggunakan bajet yang dimaksudkan kerana ‘perkara’ tersebut tidak tercatat dalam bajet sedangkan kos pendawaian kini semakin meningkat.

Sementara itu, Mazwan juga membangkitkan isu kelewatan kerja naik taraf Perpustakaan Bandar Baru Bangi di Taman Chempaka. Kata beliau seiring dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Bangi sebagai bandar ilmu, kerja naik taraf perpustakaan ini wajar disegerakan walaupun perpustakaan ini merupakan perpustakaan yang terakhir mendapat peruntukan kerja naik taraf pada tahun ini. Tegas Mazwan, sepatutnya kerja naik taraf ini diselesaikan pada November 2021, namun tertangguh hingga kini mencapai tempoh setahun. Maka Mazwan yang juga Ahli KANUN AMANAH itu memohon persoalan dan cadangan yang dibangkitkan dapat dijawab dan diberi perhatian. – Selangor today

Exit mobile version