 
                SHAH ALAM, 10 Julai – [DN Selangor] Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi menempelak kenyataan yang dibuat oleh ADN Sungai Panjang, Mohd Razali Saari berhubung dakwaan kononnya kerajaan Negeri Selangor tidak bertanggungjawab terhadap pembatalan status Tanah Rizab Melayu (TRM).
Ketika mencelah perbahasan Razali dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam, Abbas menegur wakil Perikatan Nasional (PN) itu kerana dilihat tidak membaca atau memahami sepenuhnya penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) berkaitan isu tersebut.

“Saya agak terkejut dengan kenyataan Sungai Panjang tadi mengatakan kerajaan negeri Selangor tidak bertanggungjawab di atas pembatalan Tanah Rizab Melayu,” katanya.
Menurut Abbas, berdasarkan penyata PAC, pada seksyen 5.2.5 jelas dinyatakan bahawa pentadbiran tanah di daerah Gombak dan Kuala Langat sedang menyediakan cadangan kawasan penggantian untuk TRM yang terlibat dalam pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan.
“Pentadbir tanah daerah Gombak dan daerah Kuala Langat sedang menyediakan cadangan kawasan penggantian TRM yang akan dibatalkan.
“Maksudnya ada penggantian. Sungai Panjang (merujuk Razali), ada baca tak dokumen ni?” soal Abbas.

Kenyataan itu sekali gus memperbetulkan dakwaan yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat berkenaan usaha kerajaan negeri dalam memelihara kepentingan Tanah Rizab Melayu.
Isu Tanah Rizab Melayu merupakan antara perkara yang sering dibangkitkan oleh pembangkang, namun kerajaan Negeri Selangor telah memberi jaminan bahawa setiap pembatalan TRM akan digantikan dengan kawasan yang setara nilainya bagi memastikan hak dan kepentingan orang Melayu terus terpelihara.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            