SelangorToday

ADUN SIWANIS KECEWA PERWAKILAN WANITA DALAM POLITIK MASIH RENDAH, DESAK USUL 50% MINIMA DISEGERAKAN

Ahli Dewan Undangan Negeri Sidang Wanita Selangor(SIWANIS) bagi Kawasan Pandan Indah, Nooraimi Hani Ahmad Suhaimi menyatakan kekecewaannya di SIWANIS semalam apabila penyertaan golongan wanita dalam arena politik Malaysia masih rendah.

Ketika membahaskan usul penetapan minima 50% perwakilan wanita dalam politik itu, Nooraimi menyatakan meskipun Malaysia sedang menuju negara maju, namun perkembangan negara itu tidak selari dengan peningkatan penglibatan wanita dalam politik Malaysia.

Memetik data Inter-Parlimentery Union(IPU) bagi tahun 2023, purata penyertaan wanita di negara-negara termasuk Rwanda telah mencapai 60% melalui kuota khas. Pun begitu, di Malaysia jumlah penyertaan wanita di Parlimen hanyalah 15%.

Disamping itu Nooraimi yang juga Pengarah Komunikasi Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Negeri Selangor menyenaraikan beberapa langkah untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam arus politik negara.

Antaranya perlunya parti-parti politik di Malaysia meminda perlembagaan parti masing-masing bagi menyediakan kuota yang mencukupi bagi golongan wanita melibatkan diri sama seperti yang telah dilakukan oleh KEADILAN dan DAP.

Dalam masa yang sama, Nooraimi mencadangkan satu dana khas dilaksanakan bagi penglibatan wanita dalam politik. Kekangan dana bagi ahli politik wanita menjadi salah satu sebab kurangnya penyertaan golongan wanita dalam aktiviti politik mahupun sebagai calon.

Justeru penubuhan dana khas ini bagi membolehkan kelompok wanita bersaing secara seimbang dengan kelompok lelaki yang lebih mudah menerima sokongan kewangan.

Akhirnya, beliau menegaskan kuota khas wanita ini bukan sahaja satu langkah pragmatik tetapi juga satu keperluan moral untuk memastikan keadilan gender dalam politik.

Usul tersebut telah dibentangkan oleh Siti Zainab Haji ALias ADUN SIWANIS kawasan Sentosa. –SelangorToday

Exit mobile version