
PUTRAJAYA, 3 Jun 2025 – Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi menegaskan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018 adalah sah di sisi undang-undang dan telah dilaksanakan mengikut prosedur perlembagaan yang ditetapkan.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan dakwaan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara terbuka mempersoalkan kesahihan proses pengampunan tersebut. Tun Dr. Mahathir dilaporkan berkata bahawa pengampunan penuh yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak sah kerana didakwa tidak melalui suatu persidangan Lembaga Pengampunan.
Namun begitu, AGC dalam kenyataan dua halaman itu menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-51 telah diadakan pada Rabu, 16 Mei 2018 jam 11.00 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dan turut dihadiri oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, selaku Perdana Menteri pada ketika itu.

Menurut AGC, hasil daripada mesyuarat itu, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Lembaga Pengampunan telah berkenan memberi pengampunan penuh kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pengampunan tersebut berkuat kuasa serta-merta pada hari yang sama dan melibatkan pembebasan serta pemulihan hak-hak beliau.
AGC juga menyatakan bahawa pendapat bertulis mengenai permohonan pengampunan telah disediakan oleh Peguam Negara ketika itu, selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bagi pertimbangan Lembaga Pengampunan.
“AGC memandang serius perkara ini sebagai isu yang melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi,” menurut kenyataan tersebut. AGC turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali.
Kenyataan itu ditutup dengan peringatan tegas bahawa integriti institusi perlembagaan mesti sentiasa dipelihara, dan keputusan rasmi yang dibuat oleh institusi tertinggi negara tidak seharusnya diputarbelitkan bagi tujuan politik atau persepsi awam.