SHAH ALAM, 28 April 2026 – Beberapa Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini tampil membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja serta berpotensi menggugat keharmonian awam.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam oleh Mohd Firdaus Mokhtar, Tengku Ahmad Tengku Kassim dan Muhammad Shakir yang mewakili Pakatan Harapan.
Menurut mereka, hantaran berkenaan memaparkan imej menyerupai wajah babi yang berpakaian seperti pakaian diraja, selain disertakan kenyataan yang disifatkan melampau dan tidak bertanggungjawab.
“Menghasilkan atau menyebarkan kandungan seperti ini bukan sahaja biadab, malah boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka menegaskan bahawa sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan, sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu tidak boleh dipandang ringan.
Tambah mereka, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan kebencian, penghinaan atau provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam.
Sehubungan itu, mereka menggesa (PDRM) dan (MCMC) supaya menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.
Menurut kenyataan itu lagi, antara peruntukan undang-undang yang boleh digunakan termasuk Seksyen 505 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 .
Mereka turut mengingatkan bahawa budaya penghinaan dan provokasi melampau tidak boleh dinormalisasikan dalam ruang media sosial, dan semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga sensitiviti agama, kaum serta institusi negara demi keamanan dan perpaduan.

