SelangorToday

Aidiladha Lambang Perjuangan dan Keikhlasan – Abbas Azmi

SERDANG, 7 Jun 2025 – Aidiladha bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi lambang perjuangan dan keikhlasan yang wajar dihayati sepenuhnya, demikian menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi.

Dalam perutusan sempena Aidiladha 1446H, beliau menegaskan bahawa peristiwa besar ini mengingatkan umat Islam akan makna pengorbanan yang sebenar – bukan hanya merujuk kepada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, tetapi juga dalam perjuangan seharian sebagai insan, rakyat dan pemimpin.

“Persoalannya, adakah pengorbanan yang kita sering ungkapkan itu membawa kepada kejayaan, atau sekadar menjadi cerita berulang saban tahun tanpa hasil?” soal beliau dalam kenyataan tersebut.

Abbas menyeru masyarakat agar menjadikan semangat pengorbanan sebagai pemangkin kepada perubahan dan kejayaan, demi masa depan rakyat dan negara.

“Setiap pengorbanan yang ikhlas sepatutnya membuahkan perubahan, mencetuskan kejayaan, dan membina masa depan yang lebih baik,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Abbas turut menghadiri satu majlis jamuan Aidiladha di kediaman Datuk Wahab, Pengerusi Persatuan Penduduk Lestari Putra merangkap Timbalan Pengerusi Surau Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, Taman Lestari Putra.

Beliau menyifatkan kemeriahan majlis yang dihadiri ramai penduduk sebagai simbol ukhuwah dan kebersamaan masyarakat dalam meraikan hari kebesaran umat Islam.

“Aidiladha adalah saat terbaik untuk kita menzahirkan nilai pengorbanan, kasih sayang dan kebersamaan,” katanya.

Abbas turut menzahirkan harapan agar nilai-nilai murni ini terus mekar dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya di kawasan Seri Serdang dan seluruh negeri Selangor.

Exit mobile version