
Kerajaan Negeri akan menjalankan pantauan harga menjelang sambutan Aidilfitri terutama terhadap barang bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
EXCO pengguna berkata operasi dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertujuan memastikan harga barangan keperluan tidak membebankan pengguna.
“Setiap kali menjelang perayaan, kita buat pantauan harga barang terutama yang mendapat permintaan tinggi. Pantauan termasuk dalam pasar raya.
“Kita ingatkan peniaga untuk pastikan jualan mereka mengikut harga ditetapkan. Kita tidak mahu pelanggan terbeban dengan harga tinggi,” kata Datuk Rizam Ismail.

Justeru beliau menggesa orang ramai untuk membuat aduan sekiranya terdapat peniaga menjual barangan keperluan melebihi harga ditetapkan atau terlalu tinggi.
“Aduan boleh dibuat terus ke KPDN atau ke jawatankuasa pengguna serta pemimpin setempat. Tindakan ini juga termasuk kepada harga jualan di bazar Ramadan,” katanya.
Pada Aidilfitri tahun lalu, KPDN menetapkan 22 jenis barangan bawah SHMMP selama 15 hari antaranya daging lembu tempatan dan import, halia, timun dan cili. –SelangorKini