Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mempertimbangkan bantuan berkadar RM500 sebulan kepada penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, selepas mengadakan program Ziarah Kasih di kediamannya.
Timbalan Menteri, Aiman Athirah Sabu memaklumkan menerusi hantaran di laman sosial Facebook, pihaknya akan cuba menyerahkan bantuan kepada Zaiton bermula Oktober atau November depan.
“Selepas mesyuarat pasca kabinet di bangunan pentadbiran Parlimen, saya mengambil peluang untuk menziarahi rakan artis yang berita kesukaran hidupnya dikongsi kepada saya lewat petang kelmarin.
“Bersama pengarah dan pasukan Jabatan Kebajikan Selangor, kami hadir mendengar dan melihat sendiri situasi kehidupannya, sekali gus mempertimbangkan apa bantuan yang boleh dihulurkan kepadanya.
“Insya-Allah, Zaiton akan dipertimbangkan Bantuan Warga Emas berkadar RM500 sebulan bermula Oktober atau November ini,” katanya.
Selain itu, melihat keperluan bantuan tempat tinggal yang diperlukan oleh Zaiton, Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita HARAPAN berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan rumah dengan bantuan Rumah Selangorku.
“Zaiton juga akan dibantu untuk dipertimbangkan bantuan Rumah Selangorku. Untuk ini saya akan merundingkannya dengan EXCO dan kerajaan negeri Selangor.
“Saya sudah menyerah bantuan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan serba sedikit beban hidup yang dihadapi beliau,” katanya.
Aiman Athirah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil maklum atas keperluan insan yang amat memerlukan seperti Zaiton.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin, khususnya komuniti setempat dan rakan-rakan yang turut memberi bantuan.
“Kerjasama erat antara pihak kerajaan dengan komuniti tentunya akan membantu meringankan ujian kehidupan setiap warga kita yang memerlukan bantuan.
“KPWKM senantiasa komited memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada semua kumpulan sasar kementerian,” katanya.