 
                Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri Terengganu 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran Timbalan Ketua Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA), Siti Nur Aishah Mohd Zain bagi merasmikan konvensyen Pemuda AMANAH Terengganu tahun 2025. Penampilan ini dianggap satu langkah berani dan progresif, sekaligus mencerminkan kematangan politik dalam Parti Amanah Negara.
Menurut Aishah, jemputan tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan perubahan paradigma dalam budaya politik parti. “Jarang sekali seorang wanita muda dijemput untuk merasmikan konvensyen sayap Pemuda, namun saya anggap ia sebagai satu pengiktirafan kepada kepimpinan wanita selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Goal 5, kesaksamaan gender,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah Pemuda Terengganu ini menunjukkan AMANAH sedang melangkah ke fasa kematangan politiknya. “Parti ini sedang menzahirkan politik baru iaitu politik nilai dan keterbukaan yang tidak melihat jantina, tetapi melihat kemampuan, keikhlasan dan komitmen perjuangan,” katanya disambut tepukan daripada hadirin.
Dalam ucapannya, Aishah turut mengajak agar Pemuda dan WARDA berganding bahu membina kekuatan parti. “Saya mohon Pemuda bantu bina pasukan kecil WARDA di setiap kawasan, walau dua atau tiga orang, itu sudah permulaan. Kerana pada akhirnya, kejayaan Pemuda dan WARDA adalah kejayaan parti secara keseluruhan,” tegasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan strategi bersama dalam mendekati generasi muda, khususnya pengundi Undi18 dan pendaftaran automatik yang semakin mewarnai landskap politik negara. “Anak muda tidak mahu diarahkan, mereka mahu dilibatkan. Mereka tidak mahu didengar sekali-sekala, mereka mahu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan. Inilah politik masa depan: politik partisipasi, bukan hanya representasi,” katanya.
Ucapan beliau memperlihatkan satu hala tuju jelas bahawa masa depan parti bergantung kepada kekuatan dua sayap muda ini. Dalam konteks politik nasional, mesej tersebut membawa makna besar, bahawa wanita bukan lagi pelengkap, tetapi partner in struggle yang sama-sama membina masa depan perjuangan.

Konvensyen kali ini menjadi isyarat kebangkitan generasi muda AMANAH. Dengan tegas dan bernada reformis, Aishah menutup ucapannya dengan seruan agar barisan muda parti tampil ke hadapan. “Selepas satu dekad, tanggungjawab kini berpindah kepada kita, generasi muda. Kitalah yang akan menentukan sama ada AMANAH akan kekal hidup, atau hanya menjadi catatan sejarah politik Malaysia,” katanya sebelum merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri Terengganu 2025.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            