SelangorToday

AKMAL MAHU PULIHKAN IMEJ UMNO ATAU NAIKKAN IMEJ DIRI?

Kejayaan memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota, Johor hujung minggu lalu memberi pelbagai signal terhadap politik Malaysia khususnya Kerajaan Perpaduan. Ramuan kerjasama antara BN yang diwakili oleh UMNO dan khidmat yang diberikan oleh Ahli Parlimen yang terletaknya DUN Mahkota iaitu Kluang telah memperlihatkan sokongan pengundi kepada Kerajaan Perpaduan. Lebih menarik lagi, Ahli Parlimen Kluang merupakan seorang wakil rakyat daripada parti DAP.

Ada ketikanya kedudukan Kerajaan Perpaduan ini sedikit goyah akibat perkelahian antara pimpinan utama DAP, Teresa Kok dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Akmal Saleh. Isu pensijilan Halal mendapat perhatian umum melorongkan peristiwa tikam lidah antara Ahli Parlimen Seputeh dan ADUN Melaka yang kali pertama dipilih itu. Justeru isu yang bersifat teknikal dan perundangan yang dipersepsikan sebagai isu kaum dan agama telah memberi kesan secara tidak langsung kepada sokongan pengundi kepada Kerajaan Perpaduan dalam kempen PRK DUN Mahkota. 

Meskipun DAP berikrar untuk menggerakkan seluruh jenteranya bagi memaksimumkan sokongan pengundi bukan melayu kepada calon BN, namun bibit protes kelompok yang menguasai 45% undi PRK tersebut jelas kelihatan. Nasib baik jumlah protes tidak mengganggu sokongan pengundi kepada BN membolehkan BN melalui calonnya, Syed Hussein Syed Abdullah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti lebih 20,000 undi. 

Melihat kepada situasi tersebut, apakah yang difahami terhadap gelagat Ketua Pemuda UMNO itu dalam setiap santuni yang beliau hidangkan apabila berhadapan dengan isu perkauman. Pastinya Akmal menyedari akan kesan gelagatnya tersebut mampu mengganggu kemenangan anak buahnya di Kluang. Namun mengapa Akmal masih melakukan gelagat tersebut sedangkan jika BN kalah di Mahkota, kerusi tersebut beralih kepada PN, akan meningkatkan semula sokongan dan imej orang melayu kepada PN?

Bukankah langkah Akmal sebenarnya akan meranapkan UMNO? Benarkah Akmal ikhlas mahu memulihkan ime UMNO sedangkan kelakuannya tidak memberi sebarang keuntungan kepada UMNO? Atau Akmal hanya mahu dilihat lebih baik dan menonjol berbanding memperkuatkan sokongan kepada UMNO semula?

Inilah seribu satu soalan yang melingkari akar umbi UMNO yang jelas lebih selesa bersama Kerajaan Perpaduan hari ini berbanding 33 bulan dahulu bersama PN atau pun sebagai pembangkang semasa 22 bulan PH 1.0 memerintah. Mereka sukar memahami apakah kehendak yang Akmal mahukan, sedangkan jiwa kepemudaan yang perlu lantang dan berani tidak seiring dengan gaya Akmal yang melanggar tanpa arah dan menyerang tanpa data. Lebih mengujakan apabila Akmal lebih keras apabila berhadapan dengan rakan sekerajaannya berbanding penuh diplomasi apabila bertembung dengan pembangkang. 

Mahu atau tidak, Akmal perlu buat pilihan dan akuinya sama ada beliau mendokong kenyataan Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir atau tidak. Kata Zambry selepas kemenangan di DUN Mahkota, UMNO akan terus mengamalkan konsep kesederahaan dan bergerak seiring dengan Kerajaan Perpaduan. Jika Akmal bersama dalam agenda kepimpinan BN ini, ruang terbuka luang untuk sama-sama melangkah membangunkan negara ini bersama Kerajaan Perpaduan. Sebaliknya, jika enggan, wajar jika Akmal mengundurkan diri dari saf kepimpinan UMNO-BN berbanding menjadi liabiliti kepada proses pemulihan UMNO-BN semula.

Pertama sekali dengan sikap berani Akmal, wajar beliau memulangkan semula jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka kepada Ketua Menteri, Abdul Rauf Yusof memandangkan dalam Kerajaan Negeri Melaka wujudnya  Kerajaan Perpaduan apabila Abdul Rauf memberikan penghormatan kepada wakil rakyat PH melalui DAP untuk menganggotai barisan Ahli MMKN Melaka. Ia sebagai satu tanda seorang manusia berprinsip yang enggan lagi menghayati semangat Kerajaan Perpaduan. 

Akmal boleh pertimbangkan desakan ini memandangkan jiwa Pahlawan Akmal tak akan melunturkan semangat Akmal berjuang meskipun bukan bertaraf ahli MMKN. Akmal akan dilihat lebih berani dan berkarisma berbanding hanya mampu bertelagah dengan pemimpin DAP semata-mata.

Exit mobile version