SelangorToday

AKTA WARGA EMAS AKAN DIGUBAL ELAK PENGABAIAN – AIMAN ATHIRAH

Rang Undang-undang (RUU) berkenaan kebajikan warga emas dijangka akan dibentang sebagai langkah menjamin kebajikan warga emas dan menangani isu negara menua pada 2030. Bacaan pertama RUU ini dijadualkan pada tahun depan.

Undang-undang ini juga akan merangkumi undang-undang terhadap anak-anak yang tidak bertanggungjawab melepaskan ibu bapa mereka kepada pusat jagaan warga emas.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Komuniti dan Masyarakat telah menjalankan satu kajian kandungan pendekatan dan skop berkaitan warga emas,” kata Timbalan Menteri Aiman Athirah Sabu ketika sesi jawab lisan kepada Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) yang bertanya sama ada kementerian berhasrat memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan atau rumah jagaan warga emas yang terdapat dalam negara ini.

“Sehubungan itu KPWKM akan meneliti kesesuaian undang-undang terhadap anak-anak yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa dalam akta tersebut bagi memastikan kesedaran masyarakat tentang menjaga warga emas,” katanya.

Aiman Athirah menambah, penggubalan akta warga emas ini sebagai langkah melindungi warga emas, antaranya melindungi kebajikan warga emas, melindungi hak asasi, memperkasa warga emas, memperkasa ahli keluarga dan komuniti dan mewujudkan sistem sokongan kuat untuk warga emas.

“Usaha ini untuk menanagani isu negara tua yang dijangka berlaku pada 2030 dengan pendekatan mengharmonikan semua pihak,” tambahnya.

Exit mobile version