Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [A1659] akan mula dikuatkuasakan mulai esok seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman. Akta yang memberikan peluang kedua kepada pemuflis itu menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas akta tersebut dikuatkuasakan. Beliau menambah, penguatkuasaan akta tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan memberikan peluang kedua kepada individu bankrap bagi meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan seterusnya dalam kembali menyumbang kepada ekonomi negara.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menambah, akta ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara. Jelas beliau lagi, pindaan utama akta tersebut melibatkan penambahbaikkan peruntukan pelepasan bankrap dengan Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dari tarikh individu bankrap menyerahkan penyertaan hal ehwalnya.
Selain itu, katanya melalui pelaksanaan Akta A1695, tadbir urus kebankrapan ditambah baik dengan pengunaan teknologi komunikasi jarak jauh bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan notis dan dokumen pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik. Ahli Parlimen Pengerang itu menambah, sebagai inisiatif untuk mempercepatkan pentadbiran kebankrapan, kewajipan Ketua Pengarah Insolvensi untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang dimansuhkan. –SelangorToday