 
                KUALA LUMPUR, 5 Okt – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Mujahid Yusof Rawa, menegaskan bahawa masa depan parti akan terus terjamin sekiranya prinsip kepimpinan kolektif terus diamalkan dan menjadi asas perjuangan bersama.
Berucap sempena Himpunan 1 Dekad AMANAH di Titiwangsa malam tadi, beliau menekankan bahawa parti itu bukan milik individu, sebaliknya hasil kebersamaan dan semangat berganding bahu seluruh saf kepimpinan dan ahli.

“Parti Amanah bukan hak milik terpelihara individu. Ia adalah milik kolektif kepimpinan yang berganding bahu, sama berat dipikul, sama ringan dijinjing. Inilah kekuatan yang membolehkan kita melahirkan kepimpinan baharu, termasuk anak-anak muda yang akan menyambung perjuangan besar ini,” katanya.
Dr Mujahid turut memberi keyakinan bahawa AMANAH akan terus kukuh dan relevan dalam landskap politik negara, selagi budaya kepimpinan berpasukan dikekalkan dan tidak berpusat kepada mana-mana tokoh tertentu.
“Jangan risau, parti ini akan terus berjalan — tapi dengan syarat kepimpinan itu perlu dikekalkan sebagai kepimpinan kolektif dan bukan kepimpinan di atas mana-mana individu,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengangkat penghargaan kepada seluruh ahli parti yang menjadi tunjang perjuangan tanpa mengharapkan jawatan atau kedudukan.

“Parti ini tidak mungkin tertegak tanpa ahli-ahlinya yang hebat — mereka tidak meminta jawatan, tidak mencari kedudukan, tetapi mahu melihat perjuangan Rahmatan lil Alamin terus berada di puncak tertinggi negara ini,” ujar beliau.
Mengakhiri ucapannya, Dr Mujahid mengingatkan seluruh hadirin agar tidak melupakan perjuangan rakyat Palestin, yang menjadi simbol ketabahan dan keadilan sejagat dalam perjuangan Islam sejati.
“Jangan kita lupa perjuangan Palestin,” katanya disambut laungan takbir dan sorakan semangat para hadirin.
Himpunan 1 Dekad AMANAH malam tadi menghimpunkan pimpinan utama parti, ahli serta penyokong dari seluruh negara sebagai tanda kesyukuran dan tekad memperkukuh hala tuju perjuangan berasaskan nilai rahmah dan keadilan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            