Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 — Parti Amanah Negara (AMANAH) tampil dengan cadangan penyelesaian berimbang dan praktikal terhadap isu penghidangan arak oleh pramugari Muslim di syarikat penerbangan Malaysia, sambil menegaskan bahawa perkara itu wajar ditangani dengan hikmah dan berpaksikan prinsip Rahmatan Lil Alamin.

Menurut kenyataan bersama Ahli-Ahli Parlimen AMANAH — YB Haji Aminolhuda Hassan (Sri Gading), YB Haji Suhaizan Kaiat (Pulai), YB Haji Azli Yusof (Shah Alam), dan YB Haji Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) — isu ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik sempit, sebaliknya medan untuk menunjukkan model pengurusan Islam yang beradab dan inklusif.
“Dalam konteks industri penerbangan antarabangsa, penyelesaian mesti mengambil kira sensitiviti pekerja Muslim tanpa menjejaskan keharmonian dan profesionalisme syarikat penerbangan negara,” tegas kenyataan itu.
AMANAH mengemukakan empat langkah penyelesaian praktikal:
- Sistem Automasi “Smart Beverage Dispenser” — Penumpang bukan Islam boleh menempah sendiri minuman beralkohol melalui skrin hiburan tanpa pramugari Muslim perlu menghidang secara langsung.
- Krew Bukan Islam — Tugas menghidang alkohol dikendalikan sepenuhnya oleh petugas bukan Muslim.
- “Halal Zone” Dalam Pesawat — Beberapa barisan tempat duduk bebas alkohol diuruskan sepenuhnya oleh krew Muslim.
- Sistem “Opt-In” — Alkohol hanya diberikan kepada penumpang yang membuat permintaan khas, bukan ditawarkan secara automatik.
AMANAH menyeru semua pihak agar tidak memperbesar isu ini sehingga menjejaskan imej syarikat penerbangan negara. Parti itu menegaskan bahawa pendekatan Islam bukanlah dengan menimbulkan kekeliruan atau pertikaian, tetapi melalui penyelesaian yang berakhlak, praktikal dan berpandangan jauh.
“Isu ini bukan sekadar tentang arak, tetapi bagaimana kita sebagai negara Islam menunjukkan kebijaksanaan dalam mengurus realiti moden dengan adab dan keadilan,” tegas kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Haji Azli Yusof, menjelaskan bahawa kenyataan media tersebut dikeluarkan sebagai respon terhadap desakan berulang daripada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menuntut kerajaan Madani mereformasikan kaedah penyediaan arak dalam penerbangan.
“Mereka mendesak beberapa kali tentang perkara ini, tapi macam biasalah, pembangkang tidak ada solusi. Mereka hanya berani untuk kata haramkan saja. Sedangkan ketika mereka berkuasa, mereka pun tak mampu melaksanakannya,” katanya.
Menurut beliau, AMANAH mengambil pendekatan berbeza dengan tampil membawa saranan yang lebih konstruktif dan realistik.
“Betullah seperti disebut oleh Yang Berhormat Kubang Kerian, kerja pembangkang ini senang, dia bangkang saja. Tapi kami dalam AMANAH faham ada sensitiviti dalam isu ini. Sebab itu kami tampil bukan untuk berdebat, tetapi untuk menyahut apa yang mereka timbulkan dengan cadangan yang praktikal dan boleh dilaksanakan oleh pihak penerbangan Malaysia,” jelas beliau.