Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menempelak sikap PAS seolah-olah lupa terhadap cadangan mereka sendiri yang mahu proses persempadanan semula kawasan Pilihan Raya diadakan pada tahun 2018 dan 2021. Hj Azli berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap kenyataan PAS hari ini yang mendakwa AMANAH menjadi khadam DAP apabila DAP mencadangkan Pilihan Raya peringkat tempatan diadakan manakala AMANAH mengusulkan persempadanan semula kawasan PRU.
Jelas Hj Azli yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, cadangan AMANAH agar proses persempadanan semula kawasan Pilihan Raya diadakan sebelum PRU ke-16 berlangsung tidak ada kaitan dengan cadangan yang dikemukakan DAP Wilayah Persekutuan itu. Sebaliknya cadangan AMANAH Selangor itu merupakan satu usaha ke arah memberikan keadilan kepada semua ahli parlimen di Malaysia untuk menyantuni rakyat mereka.
Sebagai contoh, terdapatnya kawasan-kawasan parlimen yang telah mencapai jumlah pengundi lebih 300 ribu orang, bagaimana jumlah yang begitu besar ini hendak disantuni oleh sebuah pasukan dari seorang ahli parlimen. Sebaliknya ada kawasan lain hanya mempunyai tidak sampai 100 ribu orang pengundi dalam satu parlimen. Dari segi capaian untuk menyantuni mereka sudah dipersoalkan, bagaimana pula dengan soal keadilan dimana antara ahli parlimen ada yang perlu menyantuni pengundi lebih ramai,ada yang menyantuni pengundi lebih sedikit. Tegas Hj Azli ini merupakan soal keberkesanan ahli parlimen menyantuni rakyat mengikut nisbah yang seimbang dan sesuai.
Namun aspek ini tidak pernah dibangkitkan oleh PAS ketika mereka sendiri melalui Pesuruhjaya Perak, Hj Razman Zakaria(2018) dan Naib Presiden PAS, Muhd Amar Nik Abdullah(2021) yang mencadangkan proses persempadanan semula kawasan Pilihan Raya diadakan. Tetapi cadangan PAS itu bersandarkan kepada persempadanan itu boleh menguntungkan PAS dengan mampu memenanginya pada setiap kali PRU diadakan. Jelas sekali PAS mencadangkan perkara tersebut untuk keuntungan politik, sebaliknya kata Hj Azli cadangan AMANAH bersandarkan soal kebajikan rakyat dan keberkesanan ahli parlimen berperanan kepada pengundi dan kawasannya. – SelangorToday