 
                9 Julai 2025 | Kuala Lumpur — Parti Amanah Negara (AMANAH) melalui Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat menyatakan rasa kesal terhadap insiden pergaduhan yang tercetus dalam kawasan Sekolah melibatkan satu majlis lelongan arak yang diadakan baru-baru ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi biro berkenaan, YB Azli Yusof menegaskan bahawa sebarang penganjuran aktiviti melibatkan alkohol di premis institusi pendidikan adalah tidak wajar, apatah lagi apabila ia mencetuskan kekecohan hingga boleh mencemarkan nama baik sekolah serta menjejaskan nilai-nilai murni yang sepatutnya diterapkan dalam kalangan pelajar.

“Kami akui majlis tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif pengumpulan dana oleh pihak tertentu, namun ia tidak sepatutnya melibatkan bahan yang sensitif seperti alkohol, lebih-lebih lagi apabila dianjurkan dalam kawasan sekolah yang seharusnya menjadi tempat membina akhlak dan peradaban,” kata beliau.
Menurutnya, insiden seperti ini perlu ditangani secara tegas dan bijaksana bagi mengelakkan ia berulang serta memberi contoh yang tidak sihat kepada pelajar dan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, AMANAH menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera menggubal serta menguatkuasakan garis panduan yang lebih ketat dan jelas berkaitan jenis aktiviti yang dibenarkan di premis sekolah — tanpa mengira latar belakang agama mahupun jenis sekolah.

“Garis panduan ini perlu menitikberatkan aspek keselamatan, nilai moral serta sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia,” tegas Azli lagi.
AMANAH turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan institusi pendidikan sebagai wadah suci dalam membina insan berilmu, berakhlak serta bertanggungjawab, dan menyeru semua pihak agar memastikan sekolah kekal sebagai pusat ilmu dan pembentukan sahsiah generasi masa depan yang sejahtera dan bermaruah.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            