
GEORGE TOWN, 10 Jun – Parti Amanah Negara (Amanah) kini berada di peringkat akhir rundingan pembahagian kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, menurut Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata rundingan sedang dijalankan dengan teliti memandangkan landskap politik di Sabah lebih rumit berbanding negeri-negeri lain.
“Kita mengharapkan sangat supaya Amanah dapat ‘beranak’ di Sabah. Itu harapan kita,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Nasional Amanah, Mohd Sani Hamzan, memaklumkan bahawa parti itu menyasarkan untuk bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah. Kerusi yang disasarkan ialah Tanjung Aru (Parlimen Putatan), Karambunai (Sepanggar), Lumadan (Sipitang), dan Sulabayan (Semporna).
Dalam perkembangan berkaitan, Amanah turut giat memperkukuh kedudukan di seluruh negara melalui penambahan keahlian dan pembukaan pejabat baharu di setiap negeri.
Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), menegaskan bahawa Amanah tidak mahu dilihat sekadar sebagai ‘penumpang’ dalam gabungan itu, sebaliknya berperanan aktif dalam pembentukan kerajaan.

“Kita bergerak di semua negeri sekarang. Amanah adalah sebuah parti kecil tetapi sedang membesar. Peranan yang dimainkan di setiap negeri sedang diperhebat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat Amanah Pulau Pinang dan menghadiri Kenduri Rakyat di Sungai Dua malam tadi.
Menurut Mohamad, keahlian Amanah kini dianggarkan berjumlah sekitar 200,000 orang di seluruh negara dan dijangka terus meningkat melalui pengukuhan struktur parti dan pembukaan pejabat-pejabat baharu.