 
                KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 — Parti Amanah Negara melalui Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah menyifatkan peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai satu amaran sosial yang membimbangkan dan menuntut tindakan menyeluruh berasaskan ilmu, nilai dan pendekatan spiritual.
Merujuk kepada laporan media bertarikh 1 Julai yang memetik pendedahan oleh Timbalan Menteri Kesihatan bahawa 222 pelajar IPT disahkan menghidap HIV pada tahun 2024, menjadikan jumlah keseluruhan dalam tempoh lima tahun kepada 1,091 kes, Pengarah Hal Ehwal Syariah dan Dakwah AMANAH, Dr Hasan Bahrom menegaskan bahawa isu ini melangkaui aspek kesihatan dan mencerminkan krisis nilai serta kerosakan sosial yang semakin meruncing.
“Ini bukan sekadar isu perubatan. Ia menggambarkan realiti gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam kalangan sebahagian anak muda kita,” kata Dr Hasan dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menolak sebarang cadangan penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) jika ia dijadikan alasan untuk menormalisasi seks bebas di kalangan pelajar. Katanya, pendekatan itu bercanggah dengan prinsip perundangan Islam yang menggariskan kaedah Sadduz Zara’i — iaitu mencegah jalan-jalan yang membawa kepada kemungkaran.
Sehubungan itu, Parti AMANAH mencadangkan beberapa langkah pembaikan yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan dan institusi pendidikan:
- Pelaksanaan modul pendidikan seksual Islami yang menyeluruh dan sistematik di peringkat IPT;
- Siri bimbingan kaunseling berasaskan agama serta kempen kesedaran menerusi masjid-masjid kampus;
- Penglibatan wajib pelajar dalam program pencegahan maksiat dan pemulihan jiwa;
- Pemerkasaan program dakwah kampus bagi membentuk jiwa dan akhlak mahasiswa.

“Pelajar IPT perlu membina kekuatan dalaman agar tidak mudah terjebak dengan gaya hidup songsang yang merosakkan nama baik agama, bangsa dan negara,” ujar Dr Hasan.
Dalam pada itu, Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Parti Amanah turut menyeru agar semua pihak — termasuk kerajaan, ibu bapa, institusi pendidikan, NGO Islamik dan organisasi belia — bersama-sama mendokong usaha pembinaan bangsa yang beradab dan bermaruah selari dengan prinsip Malaysia Madani.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            