 
                KUALA LUMPUR, 15 Okt – Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa kerajaan dan seluruh masyarakat mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi menangani krisis nilai moral dan kemanusiaan yang semakin membimbangkan dalam sistem pendidikan negara susulan dua tragedi melibatkan pelajar di Melaka dan Damansara baru-baru ini.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, YB Haji Azli Yusof, berkata parti itu amat dukacita dengan insiden rogol beramai-ramai di sebuah sekolah di Melaka serta kes pembunuhan tragik di sebuah sekolah di Damansara yang menggoncang nurani rakyat Malaysia.
“Ini bukan sekadar isu disiplin pelajar. Ia petanda jelas bahawa sistem pendidikan dan sosial kita sedang berdepan krisis kemanusiaan serta kehilangan empati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tragedi tersebut menuntut pendekatan holistik yang melibatkan kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam memperkukuh sistem nilai serta pembentukan akhlak generasi muda.

Krisis Nilai dan Pengaruh Negatif Media Sosial
AMANAH berpandangan pengaruh media sosial yang tidak terkawal — termasuk kandungan ganas, pornografi dan budaya hilang hormat terhadap manusia — telah menyumbang besar kepada normalisasi tingkah laku songsang dalam kalangan remaja.
Sehubungan itu, parti tersebut menyeru agar kawalan dan literasi digital diperkuat di semua peringkat pendidikan, termasuk melalui kurikulum moral dan sivik di sekolah.
“Pendidikan bukan sekadar akademik. Ia juga tanggungjawab membentuk insan berakhlak, berdisiplin dan berempati,” tegas Azli.
Perkukuh Peranan Sekolah dan Keluarga
AMANAH turut menggesa Kementerian Pendidikan memperkukuh peranan guru kaunseling dan disiplin, serta memastikan saluran aduan pelajar berfungsi dengan efektif dan selamat.
Dalam masa sama, parti itu menyokong pendirian Ketua Pengarah Pendidikan yang mahu pihak sekolah bersikap telus dalam melaporkan kes buli dan jenayah pelajar tanpa menyorokkan maklumat demi menjaga imej sekolah.
“Kejujuran dan ketelusan ialah asas utama dalam menangani isu keselamatan pelajar,” katanya.
Selain itu, AMANAH menegaskan peranan ibu bapa perlu diperkasa sebagai benteng pertama dalam pembentukan nilai dan akhlak anak-anak.
“Kerjasama antara ibu bapa dan sekolah mesti diperkukuh, bukan sekadar melalui mesyuarat PIBG tetapi sebagai rakan strategik dalam membentuk karakter pelajar,” ujar beliau.

Perlu Dasar Sokongan Sosial Baharu
AMANAH turut menggesa kerajaan menilai semula dasar sokongan sosial dan komuniti dengan menumpukan kepada intervensi awal bagi pelajar berisiko, program kesihatan mental, dan bimbingan keluarga bagi membendung gejala sosial.
“Tragedi ini harus menjadi panggilan kesedaran nasional. Masa depan negara bergantung kepada nilai dan empati generasi muda yang sedang kita bentuk hari ini,” tambah Azli.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            