AMANAH Hulu Selangor memutuskan parti itu akan terus kekal bertanding di DUN Hulu Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-16 meskipun kini Penyelaras DUN Hulu Bernam terpaksa diberikan kepada UMNO.
Melalui satu kenyataannya, resolusi Mesyuarat Tahunan AMANAH Hulu Bernam sebulat suara membuat ketetapan tersebut. Pendirian tersebut disokong oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Azli Yusof ketika beliau merasmikan mesyuarat tahunan AMANAH Kawasan tersebut minggu lalu.
Dalam kenyataan itu, AMANAH Hulu Selangor menasihati Pengerusi HARAPAN Selangor iaitu Amirudin Shari tidak mengulangi sikap sama dalam menyingkirkan AMANAH sebagai Penyelaras DUN Hulu Bernam.
AMANAH Hulu Selangor juga menegaskan kerusi DUN Hulu Bernam kekal ditandingi oleh AMANAH mengikut status quo kerusi parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.
Disamping itu, sehingga kini AMANAH Selangor belum menerima sebarang penjelasan tentang isu penyingkiran AMANAH bagi Penyelaras DUN Hulu Bernam meskipun telah berjanji untuk dijawab oleh Dato Menteri Besar selaku Pengerusi HARAPAN Selangor melalui Setiausaha Politiknya.
Akhirnya, Muhammad Syafiq bin Musa Naib Ketua AMANAH Hulu Selangor yang mewakili kenyataan AMANAH kawasan tersebut mengingatkan Pengerusi HARAPAN Selangor untuk bersikap lebih rasional dalam keputusan yang dibuat melibatkan rakan komponen HARAPAN sejajar dengan semangat setiakawan dalam HARAPAN. – SelangorToday