Site icon SelangorToday

Amanah kekal tanding di Temerloh, tak ganggu kerusi tradisi PKR

fadzli

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan hasrat untuk terus mempertahankan kedudukannya di Parlimen Temerloh dengan meletakkan calon mewakili Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Ramly, menjelaskan bahawa Temerloh merupakan kerusi tradisi parti itu, yang pernah dimenangi pada PRU14 sebelum dirampas Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

“Amanah akan pertahan mahu kekal bertanding di Parlimen Temerloh kerana ia adalah kerusi tradisi ditandingi kita,” kata Adun lantikan DUN Pahang itu kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan PKR Temerloh pada 12 April lalu yang sebulat suara meluluskan usul untuk bertanding dan menerajui kerusi Parlimen tersebut menjelang PRU16.

Menurut Fadzli, sehingga kini PH Pahang masih belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi berkaitan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRU16, termasuk cadangan untuk menyerahkan Temerloh kepada PKR. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Amanah menghormati hak sekutu dalam gabungan untuk mengemukakan pandangan masing-masing.

Katanya, sebarang keputusan muktamad akan dibuat secara konsensus dalam kalangan parti-parti PH serta bersama Barisan Nasional (BN) sekiranya kerjasama diteruskan di bawah payung kerajaan perpaduan.

“Kita menghormati (usul) rakan kita, tapi kita juga ada kekuatan di beberapa Parlimen lain contohnya di Indera Mahkota, bagaimanapun memandangkan calon (PKR) masa itu mendapat kedudukan undi kedua kita tak bising (menuntut), kita tak ada masalah nak benarkan mereka (PKR) terus bertanding di Indera Mahkota sebab hormat rakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa hubungan kerjasama antara Amanah, PH dan BN di Pahang kekal kukuh, termasuk di Parlimen Temerloh.

“Kita mendapat kerjasama baik dari BN, komponen PH di Pahang, malah di DUN Mentakab bawah Parlimen Temerloh…DAP tidak ada masalah mengekalkan Amanah sebagai parti yang akan bertanding di Temerloh,” katanya.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Temerloh dimenangi calon PN, Salamiah Mohd Nor, dengan majoriti 5,520 undi selepas memperoleh 30,929 undi. Calon Amanah mewakili PH, Mohd Hasbie Muda, meraih 25,409 undi, diikuti Mohd Sharkar Shamsudin dari BN dengan 25,191 undi, manakala calon Pejuang, Aminuddin Yahaya, mendapat 1,108 undi.

Untuk rekod, Amanah pernah memenangi kerusi tersebut pada PRU14 menerusi Anuar Mohd Tahir dengan majoriti 1,904 undi.

Exit mobile version