KUALA LUMPUR, 9 November — Di sebalik tumpuan terhadap kekecohan kecil yang berlaku dalam Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) semalam, hakikatnya perhimpunan tertinggi parti itu menyaksikan kelulusan tiga usul besar bersifat dasar yang memperkukuh imej AMANAH sebagai parti politik progresif dan berpandangan jauh.
Tiga usul yang diluluskan meliputi reformasi sosial, pilihan raya dan digital yang menunjukkan keberanian AMANAH mengemukakan penyelesaian dasar yang berasaskan prinsip keadilan, nilai kemanusiaan dan keperluan rakyat semasa.

Usul pertama menekankan penstrukturan semula kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berasaskan kos sara hidup setempat. Ia mencadangkan supaya model kelayakan tidak lagi ditentukan secara pukal di seluruh negara, sebaliknya mengambil kira median pendapatan kawasan, indeks harga pengguna (CPI) serta kos keperluan asas tempatan. Langkah ini disifatkan lebih adil dan mencerminkan realiti kehidupan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Usul kedua pula menyentuh reformasi sistem pilihan raya negara, dengan mencadangkan peralihan daripada sistem First Past The Post (FPTP) kepada Proportional Representation (PR). Cadangan ini dilihat sebagai langkah penting ke arah demokrasi yang lebih seimbang dan inklusif, di mana jumlah kerusi mencerminkan peratus sebenar undi rakyat di peringkat nasional. Melalui sistem PR, setiap undi dikira dan diwakili, seterusnya menggalakkan politik nilai serta kerjasama antara parti.

Sementara itu, usul ketiga menuntut kerajaan menggubal undang-undang kecerdasan buatan (AI) dan integriti digital bagi melindungi hak cipta, privasi serta keselamatan data rakyat. Usul ini turut menekankan ancaman baharu seperti penyebaran kandungan palsu (deepfake), manipulasi imej, fitnah digital dan jenayah siber yang kian meningkat.
Kelulusan tiga usul dasar ini mencerminkan iltizam AMANAH dalam memperjuangkan reformasi menyeluruh dan bukan sekadar retorik politik, tetapi berpaksikan penyelesaian jangka panjang kepada cabaran rakyat dan negara.
Dengan langkah berani ini, AMANAH menegaskan kedudukannya sebagai parti Islam progresif yang mendukung prinsip ihsan, keadilan dan kemuliaan insan, serta terus menjadi suara pembaharuan dalam landskap politik Malaysia.