Memasuki usia sembilan tahun September ini, Parti AMANAH Negara(AMANAH) tekad untuk mengubah dan membentuk semula hala tuju partinya seiring dengan perkembangan politik dan kehendak pasaran yang berubah. Sesi pemilihan pucuk pimpinan AMANAH di semua peringkat Disember tahun lalu telah mengasak AMANAH untuk melakukan perubahan segera demi memastikan AMANAH kekal relevan dan mampu berperanan besar dalam politik Malaysia.
Oleh itu, pada 29 Jun yang lalu, AMANAH melancarkan Projek Transformasi AMANAH atau Pro AMANAH. Kata Pengarah Strategik AMANAH Nasional, Ahmad Sabky Yusof ketika pembentangan Pelan Strategik Pro AMANAH itu, permukiman pertama pimpinan AMANAH Nasional yang dipilih pasca pemilihan parti telah memutuskan untuk merangka satu pelan utama yang boleh menganjak paradigma AMANAH yang ada pada hari ini.
Ia juga bertitik tolak daripada keadaan politik sebelum ini yang tidak stabil akibat perubahan kerajaan, menyebabkan tumpuan pimpinan AMANAH kepada politik arus perdana. Kini kerajaan perpaduan yang mengemudi Putrajaya telah menstabilkan politik Malaysia menjadi titik tolak untuk AMANAH memulakan langkah mengakar-bumikan AMANAH. Jumlah ahli yang semakin ramai dan rencam meniti usia satu dekad, memberikan pelbagai cabaran buat AMANAH bergerak dan kekal utuh, seharusnya satu langkah diambil bagi mengelakkan sebarang kecelaruan dan masalah muncul dibelakang hari.
Formula 4 – 12 – 28
AMANAH bertekad untuk menjadi parti yang maju dan terkehadapan kelak apabila formula 4-12-28 mula dilaksanakan menjelang hari ulang tahun penubuhannnya 16 September nanti. 4 program induk telah disenaraikan ketika perasmian Pro AMANAH oleh Presiden parti tersebut, Mohamad bin Sabu.
Keutamaan hari ini adalah bagaimana nilai-nilai teras AMANAH dibentuk dan dibudayakan oleh pimpinan dan ahli AMANAH agar sifat atau ciri kebersamaan sebagai ahli AMANAH boleh dijana. Maka program pertama AMANAH adalah memupuk nilai teras AMANAH. Aspek ini sangatlah penting bagi membina jiwa seorang ahli AMANAH, ia bukan sahaja menjadi identiti atau nilai yang harus disemat dalam diri ahli AMANAH sebaliknya nilai ini akan diangkat apabila ahli AMANAH diberi kepercayaan kelak memimpin masyarakat, negeri mahupun negara.
Kukuhnya sebuah parti politik apabila aspek pengorganisasianya lengkap, tersusun dan berfungsi. Jadi, program kedua AMANAH adalah untuk memperkukuhkan organisasi AMANAH di semua peringkat baik pentadbirannya, kewangannya dan perkaderan ahli-ahli. AMANAH akan dilihat parti yang profesional dalam mengurus parti seterusnya memberi keyakinan kepada masyarakat bersama AMANAH. Dalam masa yang sama, kegagalan melahirkan pelapis kepimpinan akan memendekkan jangka hayat sebuah parti politik, oleh itu pengukuhan organisasi ini secara langsung melahir dan menggilap ahli dengan kemahiran seorang pemimpin.
Mahu tidak mahu persaingan jenama politik menjadi semakin rumit dan sengit dalam era yang serba moden ini. Sejauh mana AMANAH melangkah, ia tetap memerlukan sokongan rakyat. Dengan itu wajar identiti AMANAH diperkasakan dalam arus politik Malaysia. Program ketiga AMANAH mahu memposisikan jenama politik parti tersebut. Walaupun AMANAH duduk dibawah payung HARAPAN, namun kemunculan identiti AMANAH perlu diperkukuhkan dalam minda masyarakat agar satu ketika nanti, masyarakat akan memilih AMANAH sebagai parti politik pilihan mereka. Doktrin ekstrimis agama mampu dikekang dengan nilai kesederhanaan dalam identiti AMANAH. Perlunya AMANAH mengukuhkan kedudukannya sebagai parti politik yang berupaya, kuat dan relevan demi menambat hati pengundi.
Program terakhir adalah memasyarakatkan AMANAH. Sebagai parti berteraskan Islam yang membawa jalur politik dan dakwah, pendekatan turun dalam denyut nadi rakyat menjadi keutamaan. AMANAH memimpin massa sebagai badan yang menyantuni dan mencerdikkan masyarakat. Islam yang AMANAH bawa akan menonjol dan berfungsi sebagai panduan hidup apabila AMANAH bersama masyarakat.
Fenomena Jingga
Kesemua empat program ini akan terlaksana apabila 12 agenda serta 28 strategi dan pelan tindakannya kelak mula digerakkan oleh pimpinan dan ahli AMANAH itu sendiri. Dengan pelaksanaan itu, AMANAH dijangka mampu menjadi parti politik yang mencengkam politik Malaysia.
AMANAH bakal berperanan besar dalam menentukan hala tuju politik Malaysia apabila nilai-nilai AMANAH diangkat sebagai teras mahupun pendekatan mereka berpolitik. Wajah politik Malaysia akan beransur maju daripada politik berteraskan sentimen perkauman dan fahaman agama yang keras, kepada nilai politik yang lebih sederhana, harmoni dan berpendidikan.
Dalam ilmu psikologi, warna jingga digambarkan sebagai bersemangat tinggi, bercita-cita dan bertenaga. Tidak mustahil berpaksikan warna jingga, ahli AMANAH menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Pimpinan AMANAH perlu memanfaatkan semangat dan komitmen tinggi ahli-ahlinya untuk melihat AMANAH memuncak dipersada kuasa, mengakar dalam sendi masyarakat, oleh itu wajar Pro AMANAH direaliasikan dengan berkesan
Kata Timbalan Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof Rawa bahawa AMANAH mempunyai aset yang sangat kuat dan penting iaitu Dasar ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’. Aset ini sangat bertepatan dengan aspirasi perlembagaan Malaysia tanpa menggugat sebarang tuntutan syariah. Namun beberapa kelompongan dikenalpasti menjadi cabaran pada AMANAH yang boleh diatasi melalui Pro AMANAH. Dasar ini lah menjadi satu fenomena baharu yang menghiasi politik semasa. ‘Fenomena Jingga’.
Fenomena jingga bakal mengisi sanubari masyarakat yang berkehendakkan sebuah politik yang mempertautkan bukan membenci, mencerdikkan bukan menjahilkan dan memperkayakan bukan memiskinkan. Parti berteraskan warna jingga ini mengisi kelompongan yang ditinggalkan oleh gergasi politik lama.
Semoga AMANAH berjaya merealisasikan tekadnya, dan berdiri sama tinggi dengan parti-parti politik yang lain kelak.
Cikgu Syazmir HN