SelangorToday

AMANAH MENJUNJUNG KASIH TITAH TUANKU DALAM MENANGANI FAHAMAN EKSTREMIS

AMANAH melalui Naib Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif bin Ismail menyokong dan menjunjung kasih sepenuhnya Titah Baginda DYMM Sultan Selangor yang juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan(MKI) yang menegaskan bahawa semua pihak termasuk ahli politik perlu berwaspada dengan sikap keras serta menggunakan segala cara termasuk media dalam memupuk polarisasi kaum dan agama secara melampau sehingga bakal menjejaskan keamanan, keharmonian dan perpaduan rakyat di dalam negara.

Beliau menambah, larangan Tuanku itu wajar dipatuhi oleh semua pihak khususnya larangan mengeluarkan sebarang  kenyataan fatwa yang tidak wajar. Peranan itu perlu disandarkan kepada pihak berautoriti yang pastinya lebih arif dan mempunyai pendekatan seimbang tanpa kepentingan politik. Hj Shamsul menjelaskan, semua pihak seharusnya memikirkan soal bagaimana kesepaduan dalam negara ini perlu dibentuk dalam mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Tegasnya, naratif ketaksuban mahupun kebencian terhadap agama dan kaum ataupun terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu jika tidak dikawal akan mewujudkan sifat radikalisme dan ektremisme yang boleh membahayakan negara.

Beberapa hari yang lalu Baginda DYMM Sultan Selangor telah mengeluarkan Titah Peringatan Baginda kepada seluruh lapisan masyarakat agar tidak menggunakan elemen perpecahan kaum dan agama sebagai senjata politik. Maka Hj Shamsul yang turut bertindak sebagai Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional menyokong Titah tersebut dan menyokong atas peringatan Baginda itu. – SelangorToday

Exit mobile version