SHAH ALAM, 9 Nov 2025 – Parti AMANAH Negara bakal memiliki dewan khas sendiri bagi kegunaan parti di masa hadapan, kata Bendahari Agung merangkap Pengerusi AMANAH Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim.
Dalam ucapan penggulungannya di Konvensyen Nasional Parti AMANAH Negara 2025 di sini hari ini, Izham berkata usaha ke arah pembinaan dewan tersebut sedang giat dijalankan bagi memastikan parti mempunyai kemudahan tetap yang mampu menjimatkan kos serta menjamin kelestarian jangka panjang.
“Kita memang ada rancangan untuk bangunkan sendiri dewan kita. Tanah yang sesuai pun sudah dikenal pasti, cuma ambil sedikit masa. Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran konvensyen dan program besar parti yang diadakan setiap tahun melibatkan perbelanjaan yang tinggi.
“Kalau dikumpul semua kos penganjuran konvensyen oleh sayap-sayap parti seperti AWAN, Pemuda dan Warga, jumlahnya sangat besar. Wang sebanyak itu sepatutnya boleh digunakan untuk memperkukuh jentera dan aktiviti parti,” jelasnya.
Justeru, Izham menegaskan bahawa pembinaan dewan milik sendiri bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi pelaburan jangka panjang untuk menjadikan AMANAH lebih mampan dan berdikari dalam urusan pentadbiran serta penganjuran program.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Azli Yusof yang mengetuai urusetia pelaksana konvensyen kali ini. Izham memuji kepimpinan dan komitmen Azli serta pasukannya yang memastikan kelancaran program dan keselesaan maksimum buat semua perwakilan.