Tindakan penyiaran karikatur menghina Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bukan sahaja mencerminkan kurangnya rasa hormat terhadap simbol negeri tetapi juga berpotensi menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sabah, Lahirul Latigu berkata, TYT bukan sekadar seorang individu tetapi adalah institusi penting dalam struktur pentadbiran negeri Sabah.
“Beliau merupakan lambang kedaulatan, perpaduan, dan kestabilan negeri ini. Sebagai figura neutral tanpa pengaruh politik, TYT memainkan peranan besar dalam menjaga integriti sistem pentadbiran negeri Sabah.
“Walaupun Sabah tidak mempunyai raja seperti negeri-negeri beraja di Semenanjung Malaysia, TYT berfungsi sebagai simbol kedaulatan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lahirul berkata, AMANAH sentiasa menyokong kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, kebebasan ini mesti digunakan dengan bertanggungjawab.
“Apa-apa tindakan yang menghina simbol negeri, termasuk TYT, adalah bertentangan dengan nilai adab dan tatasusila rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah yang terkenal dengan budaya hormat-menghormati,” jelas Lahirul.
Menurutnya, sebarang penghinaan terhadap TYT adalah sama dengan merendahkan maruah dan identiti negeri Sabah itu sendiri.
“Sabah adalah negeri yang kaya dengan tradisi, adat, dan perpaduan pelbagai kaum dan agama.
“Tindakan seperti ini boleh mengundang perpecahan di kalangan rakyat dan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu,” kata Lahirul. -Sabah News Today