 
                SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor menzahirkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan besar Allahyarham Hj A. Yazid bin Alias yang telah menyerahkan jiwa dan raganya untuk perjuangan parti sejak awal penubuhannya.
Penghormatan itu dizahirkan menerusi penganugerahan Anugerah Jasamu Dikenang sempena Konvensyen AMANAH Selangor 2025 yang berlangsung di Shah Alam hari ini. Anugerah tersebut disampaikan oleh Naib Presiden AMANAH merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Hj Adly Zahari kepada waris Allahyarham, Hassan Shukri.

Allahyarham Hj A. Yazid Alias dikenang sebagai seorang pejuang dakwah yang konsisten sejak usia mudanya. Pada tahun 1985, ketika menuntut di Houston, Texas, beliau menubuhkan Persatuan Pelajar Melayu Malaysia, mendirikan surau serta menghidupkan budaya usrah dan tamrin di kalangan pelajar.
Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1991, Allahyarham bergiat aktif dalam PAS dengan menggerakkan dakwah, tarbiah dan pendidikan, termasuk penubuhan PASTI serta Sekolah Rendah Islam Seri Ilmi. Pada tahun 2015, beliau menjadi antara pengasas awal AMANAH Gombak dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan parti.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan, antaranya Timbalan Ketua Kawasan AMANAH Gombak, Pengarah Biro Pilihan Raya Amanah Selangor, Setiausaha BPR Nasional, Setiausaha Lembaga Tatatertib Nasional, Ahli Majlis MPAJ, serta Setiausaha Politik Timbalan Menteri. Allahyarham juga menjadi tulang belakang kejayaan AMANAH dalam PRU14 dengan mengetuai jentera pilihan raya di Gombak, selain terlibat dalam PRN Sarawak, Sabah serta beberapa siri PRK antara 2018 hingga 2020.
Di mata sahabat seperjuangan, Allahyarham dikenali sebagai sosok yang tawadhu’, berlapang dada dan tidak berkira dalam kerja. Beliau tidak hanya memimpin mesyuarat, malah sanggup turun mengutip sampah bersama akar umbi demi memastikan kelancaran perjuangan parti. Jiwa besarnya terpancar melalui prinsip hidup yang sentiasa meletakkan redha Allah sebagai tujuan utama perjuangan.
Anugerah yang disampaikan itu menjadi simbolik penghargaan atas segala jasa, pengorbanan dan pengabdian Allahyarham terhadap perjuangan Islam dan AMANAH.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            