AMANAH Negeri Selangor merasa kesal dengan Pemuda PN yang baru-baru ini mencadangkan agar Negeri di tadbir PN menggunakan logo Hari Kemerdekaan yang berbeza dengan logo yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Melalui satu kenyataan oleh Naib Pengerusi 1 AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif Ismail berkata, cadangan yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda PN itu boleh menyebabkan perpecahan dikalangan masyarakat negara ini. Malah, ia satu tindakan melampau dengan cara mempolitik perayaan Hari Kemerdekaan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari mencadangkan agar kesemua negeri yang ditadbir oleh PN termasuk Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menggunakan logo berbeza dengan tema Malaysia Sejahtera. Namun cadangan itu ditolak oleh Menteri Besar Terengganu sendiri dan hanya mahu menggunakan tema Hari Kemerdekaan Peringkat Persekutuan bagi Negeri Perlis. Cadangan tersebut juga turut dikecam oleh parti kompenen PN sendiri iaitu GERAKAN. Malah logo alternatif yang dicadangkan menggantikan logo Hari Kemerdekaan peringkat Persekutuan turut mendapat kritikan netizen kerana tidak melambangkan jati diri Malaysia.
Hj Shamsul yang juga Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional menambah, musim Pilihan Raya telah pun berakhir, seharusnya semua ahli politik memainkan peranan untuk menyatukan semula rakyat dibawah satu lambang agar semangat dan kesepaduan berjaya dibentuk. Beliau juga menghargai keputusan yang diambil oleh Menteri Besar Terengganu yang memilih untuk bersama dengan logo dan tema Kerajaan Persekutuan sempena Hari Kemerdekaan ini. –Selangor Today