SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap penglibatan Malaysia dalam Grand Campaign Sumud Nusantara 2026 sebagai usaha bersepadu memperjuangkan nasib rakyat Gaza.
Naib Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Hj Shamsul Ma’rif Ismail berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selaku penaung utama kempen berkenaan, serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mengetuai delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan berskala global itu.
Menurut beliau, berdasarkan laporan semasa, misi tersebut melibatkan penghantaran 30 kontena bantuan dengan anggaran berat 374 tan melalui laluan strategik ke Gaza. Ia turut digerakkan secara berfasa merangkumi mobilisasi antarabangsa, diplomasi global dan tindakan undang-undang.
“Penyertaan hampir 100 negara bersama ribuan sukarelawan antarabangsa dalam rangka Global Sumud Flotilla 2.0 membuktikan bahawa isu Gaza kini menjadi agenda kemanusiaan dunia yang semakin tersusun dan berimpak besar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan, Amanah melihat usaha ini sebagai manifestasi kepimpinan Malaysia dalam memecahkan kepungan kemanusiaan, memperkukuh tekanan diplomatik serta mengangkat suara keadilan di pentas antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus bersatu menyokong misi berkenaan melalui doa, sumbangan dan solidariti berterusan.
“Gaza tidak bersendirian. Malaysia terus memimpin suara kemanusiaan,” ujarnya.

