SelangorToday

AMANAH Selangor Tegas Tolak LGBT, Junjung Titah Sultan Selangor

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor menegaskan pendirian tegas menolak budaya dan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam, nilai budaya tempatan serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, khususnya dalam konteks masyarakat Islam dan majmuk di negeri ini.

Naib Pengerusi AMANAH Selangor, Shamsul Ma’arif Ismail, berkata hubungan yang diterima syarak hanyalah antara lelaki dan perempuan melalui ikatan perkahwinan, sebagai asas memelihara fitrah, maruah insan, keturunan serta keharmonian sosial.

“Sebarang hubungan yang menyimpang daripada kerangka syarak adalah melampaui batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas isu penganjuran program “Glamping” di Hulu Langat yang dilaporkan melibatkan unsur promosi lesbian dan LGBT, beliau menegaskan AMANAH Selangor membantah keras sebarang bentuk penganjuran, promosi atau normalisasi gaya hidup tersebut di Selangor.

Menurutnya, pendirian itu selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, yang menzahirkan bantahan terhadap sebarang bentuk promosi, aktiviti dan budaya LGBT.

“Amanah Selangor menjunjung tinggi dan menyokong sepenuhnya pendirian serta titah Baginda dalam menjaga kesucian agama dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, AMANAH Selangor turut menyeru rakyat agar menjauhi kumpulan, amalan dan pengaruh yang menormalisasikan gaya hidup LGBT, sebaliknya memperkukuh pegangan akidah, akhlak serta institusi kekeluargaan melalui pendidikan, bimbingan dan persekitaran yang sihat.

Exit mobile version