SelangorToday

AMANAH SELANGOR TUNTUT ISU PENYELARAS DUN HULU BERNAM DISELESAIKAN SEGERA

Abbas yang juga Ahli Dewan Negeri(ADN) Seri Serdang berkata AMANAH Selangor tetap menuntut jawatan Penyelaras DUN  Hulu Bernam dikembalikan kepada Parti AMANAH.  Tambahnya, jika keputusan dibuat untuk tidak mengembalikan jawatan itu pada AMANAH, penyelaras DUN Batang Kali atau Parlimen Hulu Selangor perlu diberikan kepada AMANAH sebagai ganti. Jelas beliau lagi, isu ini sepatutnya diselesaikan secara dalam di peringkat HARAPAN sahaja memandangkan ia melibatkan rundingan antara parti komponen. Namun apabilla arahan penukaran penyelaras DUN Hulu Bernam berlaku, ia satu yang mengejutkan memandangkan penyelaras sebelum ini telah pun berkhidmat dan membuka pejabatnya.

Abbas menaruh kepercayaan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor untuk menyelesaikan isu ini secara menang-menang. Rekod menunjukkan Amirudin berjaya menyelesaikan isu berbangkit dengan adil dan saksama, maka AMANAH yang tidak bersetuju dengan pertukaran Penyelaras DUN Hulu Bernam ini yakin Menteri Besar mampu menyelesaikan isu ini segera. Malah pertukaran yang berlaku ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat HARAPAN Selangor.

Sebelum ini, Amanah Hulu Selangor meminta Amirudin menyerahkan semula jawatan pegawai penyelaras DUN Hulu Bernam disandang timbalan ketuanya, Roslin Md Zin. Naib Ketua Amanah Hulu Selangor, Mohammad Syafiq Musa, mendakwa Roslin ditamatkan tugas dengan jawatan itu diberikan kepada Ketua Umno Hulu Selangor, Mohd Isa Abu Kasim yang berpunca daripada gerakan politik diatur pihak tertentu.

Batang Kali dan Hulu Bernam ialah dua DUN bawah Parlimen Hulu Selangor yang dikuasai Perikatan Nasional (PN). – SelangorToday

Exit mobile version