SelangorToday

Amanah Shah Alam Lulus Usul Pemuda kekalkan Umur Persaraan 60 Tahun

SHAH ALAM, 7 Julai 2025 — Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Shah Alam yang berlangsung semalam menyaksikan usul penting diluluskan sebulat suara, apabila sayap pemudanya menolak cadangan kerajaan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Usul yang dibentangkan oleh wakil Pemuda Shah Alam, Saudara Amzar Abu Zarin, menegaskan bahawa langkah menaikkan had umur persaraan bakal memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan dalam kalangan belia dan graduan baharu.

“Dalam situasi pasaran kerja yang semakin mencabar, cadangan menaikkan umur persaraan ini berisiko menyempitkan ruang untuk anak muda memasuki dunia pekerjaan,” katanya ketika membentangkan usul tersebut di hadapan para perwakilan mesyuarat.

Pemuda Shah Alam turut berpandangan bahawa fokus kerajaan seharusnya beralih kepada usaha mewujudkan mekanisme persaraan yang lebih berkesan. Ini termasuk perancangan kewangan jangka panjang, penjagaan kesihatan yang mampan serta sokongan sosial menyeluruh kepada warga emas selepas umur 60 tahun.

“Pendekatan ini adalah lebih inklusif dan adil, menjamin keseimbangan antara generasi pekerja lama dan baharu,” tambah Amzar.

Usul ini mendapat sokongan penuh semua perwakilan mesyuarat tahunan yang turut dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH Nasional, YB Tuan Haji Adly Zahari.

Langkah Pemuda AMANAH Shah Alam ini dilihat sebagai suara awal dalam wacana nasional yang sedang berkembang mengenai dasar umur persaraan, khususnya dalam konteks keperluan meremajakan tenaga kerja negara.

Mesyuarat tahunan tersebut juga membincangkan pelbagai isu berkaitan dasar ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat dalam persediaan menghadapi cabaran negara menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Exit mobile version