KUALA LUMPUR, 13 Okt — Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh sektor pendidikan apabila memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan 2026, meningkat daripada RM64.2 bilion tahun lalu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, YB Haji Azli Yusof, berkata langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pendidikan negara serta usaha berterusan memperkukuh sistem pendidikan sebagai teras kemajuan bangsa.
“Belanjawan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan Madani pimpinan YAB Perdana Menteri untuk memastikan pendidikan menjadi asas kemajuan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fokus Kukuhkan Akses dan Keadilan Pendidikan
AMANAH menyambut baik pembinaan 38 sekolah baharu di seluruh negara yang dijangka mengurangkan kepadatan bilik darjah dan memperluas akses pendidikan berkualiti, khususnya di kawasan pesat membangun.
Parti itu turut menyanjung peruntukan hampir RM1 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar, yang disifatkan sebagai bukti kesungguhan kerajaan menoktahkan jurang pendidikan antara wilayah.
Selain itu, RM5.6 bilion bantuan persekolahan termasuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Biasiswa Kecil Persekutuan dan Rancangan Makanan Tambahan, dilihat memperkukuh pendekatan inklusif kerajaan agar tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan.
Perkukuh Pendidikan Tinggi dan Mobiliti Sosial
AMANAH turut menyokong peruntukan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meningkatkan keupayaan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, termasuk RM401 juta bagi penyelenggaraan serta penggantian peralatan usang.
Dalam masa sama, langkah kerajaan menyediakan pendidikan percuma PTPTN untuk 5,800 pelajar daripada keluarga miskin serta pengecualian bayaran balik kepada 6,000 peminjam berprestasi tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana dianggap sebagai pelaburan penting dalam mobiliti sosial anak muda.
Tekankan Pelaksanaan Telus dan Berimpak
AMANAH turut menyokong peningkatan peruntukan TVET kepada RM7.9 bilion, selain mengalu-alukan pembinaan dua sekolah pendidikan khas baharu serta penyediaan elaun RM150 kepada 150,000 murid OKU.
Bagaimanapun, Haji Azli menegaskan kejayaan dasar ini bergantung kepada pelaksanaan yang cekap, telus dan berfokus kepada hasil agar manfaat sampai kepada golongan sasar seperti sekolah luar bandar, pelajar miskin dan anak Orang Asli.
“AMANAH akan terus memantau serta menyokong pelaksanaan dasar ini bagi memastikan setiap ringgit memberi impak maksimum kepada rakyat,” katanya.
Seru Semua Pihak Jayakan Agenda Pendidikan Madani
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyeru semua pihak termasuk guru, ibu bapa, pelajar dan pertubuhan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan agenda pendidikan Kerajaan Madani.
“Dengan iltizam kerajaan dan sokongan rakyat, kita mampu melahirkan generasi muda Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di pentas dunia,” katanya.