 
                KUALA LUMPUR, 28 Okt – Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan dan kebijaksanaan diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya mengemudi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dengan cemerlang, sekaligus mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kejayaan besar Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di bawah pimpinan Anwar membuktikan bahawa rantau Asia Tenggara mampu menjadi model wilayah aman dan stabil — terutama dengan termetrainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja.
“Kita harus berbangga dengan kejayaan ini kerana Malaysia berjaya memainkan peranan penting dalam menamatkan konflik sempadan berpanjangan antara dua negara anggota ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kejayaan diplomatik itu menonjolkan kebijaksanaan Anwar menggunakan pendekatan ‘Diplomasi Hikmah’, yang berasaskan keseimbangan antara prinsip dan kepentingan geopolitik.
Dr Mujahid turut menolak tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia bersikap lunak terhadap Amerika Syarikat sempena kehadiran Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur bagi sidang kemuncak berkenaan.
“Hubungan strategik Malaysia dengan Amerika Syarikat tidak boleh ditafsirkan sebagai tanda kesetiaan atau persetujuan terhadap dasar luar AS yang menyokong kezaliman Israel. Ia adalah hubungan berasaskan kemaslahatan negara – demi ekonomi, pekerjaan dan kestabilan, tanpa menggadaikan prinsip Islam dan kemanusiaan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, prinsip Siasah Syar‘iyyah yang diamalkan Perdana Menteri menuntut keseimbangan antara kemaslahatan dan kemudaratan — satu bentuk kebijaksanaan politik Islam yang berpaksikan keadilan dan maruah ummah.
Dalam konteks itu, Anwar mengamalkan pendekatan ‘dual track diplomacy’ atau diplomasi dwi landasan — menjalin hubungan perdagangan dan kerjasama antarabangsa sambil kekal lantang memperjuangkan isu Palestin di peringkat global.
“Pendekatan hikmah siasah ini boleh dirumuskan sebagai ‘berbaik untuk manfaat, berprinsip untuk maruah’,” jelas Dr Mujahid.
AMANAH, katanya, menyokong sepenuhnya dasar tegas kerajaan Madani yang mengekalkan pendirian tidak mempunyai hubungan diplomatik atau perdagangan dengan Israel serta terus menuntut keadilan dan keamanan buat rakyat Palestin.
“Pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan dasar politik berakhlak, bermaruah dan penuh hikmah yang menjadi asas perjuangan AMANAH,” tambah beliau.
Dr Mujahid menegaskan bahawa diplomasi berteraskan hikmah perlu dilihat sebagai kekuatan Malaysia dalam mendepani cabaran geopolitik antarabangsa tanpa tunduk kepada tekanan kuasa besar, seiring dengan semangat ASEAN yang mendambakan keamanan dan kemakmuran bersama.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            