KUALA LUMPUR, 28 Mac — Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan sokongan terhadap pendekatan Kerajaan MADANI dalam mendepani cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu susulan konflik antarabangsa yang memuncak.
Timbalan Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa berkata, perkembangan konflik antara Israel dan Iran berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia, termasuk kenaikan harga tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan global.
Menurut beliau, situasi itu menuntut pendekatan berhemah dan kepimpinan yang stabil seperti yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Apabila laluan strategik seperti Selat Hormuz terjejas, kesannya akan dirasai sehingga ke dapur rakyat Malaysia. Kos sara hidup meningkat dan tekanan terhadap subsidi turut bertambah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk semua pihak, termasuk kerajaan dan pembangkang, menyokong usaha memperkukuh ekonomi negara melalui pendekatan konsensus nasional.
Katanya, langkah seperti pengurusan inflasi secara menyeluruh, reformasi subsidi bersasar, pengukuhan keselamatan makanan dan tenaga serta pemeliharaan keyakinan pelabur perlu dilaksanakan secara bersama dan konsisten.
“Kerajaan MADANI telah meletakkan asas yang jelas dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan. Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan dengan menyokong agenda besar negara ini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa krisis di Asia Barat harus dilihat sebagai peluang untuk mematangkan landskap politik negara melalui pendekatan Politik Rahmah dan Politik Nilai yang lebih inklusif serta bertanggungjawab.
Dalam masa sama, Mujahid Yusof Rawa menggesa pemimpin politik agar menurunkan suhu perbalahan dan memberi fokus kepada penyelesaian isu rakyat.
“Rakyat mahukan kepimpinan yang bersatu dan matang, terutama ketika mereka berdepan tekanan ekonomi. Inilah masa untuk membuktikan bahawa politik mampu menjadi alat penyatuan,” katanya.

