KUALA LUMPUR, 6 Dis — Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik langkah Kerajaan Malaysia yang baru-baru ini membentangkan pindaan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244), yang dilihat sebagai usaha memperkukuh tadbir urus dan hala tuju industri kreatif negara.
Menurut Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim, pindaan tersebut memberi isyarat positif terhadap komitmen kerajaan dalam membangunkan sektor seni dan kandungan digital yang semakin pesat berkembang, selain menyediakan kerangka ekosistem yang lebih telus dan progresif.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat ruang penambahbaikan bagi memastikan industri kreatif negara benar-benar berdaya saing di peringkat global.
Antara cadangan utama AMANAH ialah pelaksanaan mekanisme pembayaran royalti kepada pelakon dan para karyawan setiap kali karya lakonan mereka — termasuk drama, filem dan kandungan digital — disiarkan semula di mana-mana platform. Mekanisme ini, tegas beliau, akan menjamin pendapatan yang lebih adil serta mengiktiraf sumbangan besar golongan seni dalam memacu ekonomi hiburan negara.
Selain itu, AMANAH turut mencadangkan supaya produksi yang menerima dana FINAS dan mencatat keuntungan memperuntukkan sebahagian pulangan modal kepada badan tersebut. Langkah ini dilihat mampu memperkukuh dana pembangunan industri, memperluas peluang sokongan kepada pemain baharu dan menambah sumber bagi program kebajikan serta pembangunan modal insan. Model seumpama ini juga telah berjaya dilaksanakan di beberapa negara lain.

Biro berkenaan juga menekankan kepentingan meningkatkan kapasiti karyawan tempatan melalui latihan profesional bertaraf global, kerjasama dengan studio antarabangsa, geran khas bagi kandungan berorientasikan eksport serta sokongan pemasaran dan penyertaan dalam festival filem utama dunia.
“Pemerkasaan menyeluruh ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi industri kreatif, malah meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab kandungan berkualiti tinggi,” kata Wan Anwar.
Beliau menegaskan bahawa gabungan pindaan akta bersama inisiatif tambahan seperti pembayaran royalti, mekanisme pemulangan modal dan pembangunan kapasiti global mampu menjadikan industri seni tanah air lebih mapan, inklusif dan kompetitif.
AMANAH turut menggesa kerajaan, FINAS dan para pemain industri untuk terus bekerjasama bagi memastikan ekosistem kreatif negara terus berkembang serta mampu berdiri megah di pentas antarabangsa.