
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Parti Amanah Negara (AMANAH), Haji Azli Yusof, menggesa agar tindakan tegas dan menyeluruh diambil bagi membanteras budaya buli di institusi pendidikan, susulan insiden membabitkan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurut beliau, budaya buli dalam kalangan pelajar bukan sekadar salah laku, tetapi merupakan satu bentuk keganasan yang mendatangkan trauma mendalam dan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental, prestasi akademik serta keyakinan diri pelajar.
Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli di institusi di bawah kelolaan MARA.

“Pendekatan tegas beliau amat penting sebagai mesej jelas kepada semua pihak bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar adalah keutamaan mutlak. Ini selaras dengan aspirasi kami untuk mewujudkan institusi pendidikan yang benar-benar selamat dan beretika,” katanya.
Beliau menambah bahawa tindakan seumpama ini harus dijadikan teladan oleh semua pihak pentadbiran sekolah dan institusi pendidikan lain agar tidak bersikap sambil lewa terhadap aduan dan gejala buli.
Sehubungan itu, Haji Azli mencadangkan pelaksanaan Dasar Anti-Buli yang menyeluruh dan berkesan, khususnya di sekolah berasrama penuh. Dasar ini perlu meliputi langkah pencegahan, pengesanan awal, sistem aduan mesra pelajar, serta intervensi psikososial yang menyeluruh.
Beliau juga menekankan pentingnya mewujudkan mekanisme aduan yang terbuka, telus dan mudah diakses oleh pelajar dan ibu bapa, dengan jaminan kerahsiaan serta perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblower) bagi menggalakkan pelaporan tanpa rasa takut atau stigma.

Haji Azli yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor menyarankan agar latihan kesedaran dan kepekaan terhadap gejala buli ditingkatkan untuk guru, warden dan staf sekolah, manakala pelajar pula dididik dengan nilai empati, rasa hormat dan tanggungjawab sosial.
Beliau juga menggesa agar ibu bapa dan masyarakat dilibatkan secara aktif dalam membina ekosistem pendidikan yang selamat, termasuk melalui platform aduan mesra pelajar dan ibu bapa yang dicadangkan diwujudkan di setiap sekolah berasrama penuh.
“Sudah tiba masanya kita beralih daripada tindakan reaktif kepada usaha pencegahan dan pembentukan budaya sekolah yang sihat. Pendidikan bukan sahaja soal akademik, tetapi juga soal membentuk sahsiah dan nilai insan,” tambah beliau.
AMANAH percaya bahawa pembinaan sahsiah pelajar dalam suasana ihsan dan penuh hormat adalah tunjang kepada pembangunan negara madani dan beretika yang ingin dicapai.