AMANAH Negeri Selangor menyokong penuh tekad Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selaku Ketua Kerajaan Perpaduan Selangor untuk terus memperkasakan syiar Islam dalam Belanjawan Selangor 2024. Melalui kenyataan Naib Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif Ismail berkata, AMANAH melihat pemerkasaan syiar Islam sebagai teras keempat dalam Belanjawan 2024 merupakan satu petanda kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan pembangunan syiar Islam di Selangor, malah ia menjadi aspek keutamaan dan menerima peruntukan yang banyak tahun demi tahun. Maka AMANAH sebagai salah satu anggota parti dalam Kerajaan Perpaduan menyokong usaha ini.
Dalam belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan pembinaan sebuah kompleks Islam di Gombak Permai oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad. Pembinaan kompleks Islam yang dijangka menelan belanja sebanyak RM25 juta merangkumi masjid, kuarters imam dan bilal serta dua blok sekolah rendah agama itu akan memberi manfaat dan keselesaan beribadat serta pendidikan agama Islam yang lebih baik kepada penduduk setempat. Tambah Hj Shamsul lagi,pembinaan kompleks ini mampu melestarikan kegiatan dakwah di Selangor.
AMANAH Selangor juga bersedia menjadi peneraju kepada kegiatan dakwah dan pembangunan Islam di Selangor yang dilihat semakin pesat membangun. Hj Shamsul juga mengharapkan pengumuman demi pengumuman yang dibuat ini mencelikkan semula minda rakyat Selangor bahawa Islam tidak pernah terancam di Selangor. – SelangorToday