SelangorToday

AMANAH SUDAH BERJAYA TEMBUSI PELBAGAI CABARAN, MASA UNTUK JADI BERTAMBAH BAIK

AMANAH yang menyambut ulang tahun penubuhannya bulan lalu bagi tahun ke-8 merupakan satu pencapaian bermakna buat parti tersebut. Ditengah-tengah suhu politik yang sentiasa panas dan bergelora, AMANAH kekal menjadi parti yang berprinsip dan kekal dalam arus politik semasa. Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Serentak Cawangan-cawangan dan sayap-sayap AMANAH Kawasan Shah Alam, Abbas Salimi menegaskan AMANAH telah pun berjaya menempuhi pelbagai tribulasi sepanjang penubuhannya.

Beliau yang kini berjaya memenangi kerusi DUN Seri Serdang dalam Pilihan Raya Negeri Selangor Ogos lalu melihat AMANAH kekal menjadi parti Islam yang sesuai dengan konteks Perlembagaan Malaysia serta masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Beliau juga turut menambah, sehingga hari ini, AMANAH telah berjaya membuktikan bahawa partinya sebagai parti Islam yang berdaya tahan dan dihormati masyarakat.

Abbas merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH diperingkat nasional dan di peringkat negeri pula, Abbas adalah Pengerusi Biro Pembangunan Sumber Manusia AMANAH Selangor. Antara pengasas terdahulu yang melahirkan AMANAH di Shah Alam dan Selangor, bekas Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu menyatakan kesediaan masyarakat Malaysia untuk menerima AMANAH melalui pendekatan yang sederhana, terbuka dan demokratik dalam kepimpinan. Malah mesej ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ menjadi tunjang pergerakan AMANAH menyantuni masyarakat Islam dan bukan Islam. –SelangorToday

Exit mobile version