SelangorToday

AMANAH TAK AKAN MAIN POKER, AMAL POLITIK KERJASAMA

Apabila Ketua UMNO Bahagian Pulai, Nur Jazlan Mohamed mendakwa AMANAH dan PKR tidak layak untuk bermain ‘poker’ dan dianggap penumpang dalam politik Malaysia, ia sedikit sebanyak merencatkan momentum kemenangan yang berjaya di capai oleh BN di DUN Mahkota. Kejayaan yang diraikan bersama DAP dan komponen dalam kerajaan perpaduan itu lenyap setelah kenyataan Nur Jazlan dibidas oleh pimpinan Pakatan Harapan khususnya PKR dan AMANAH.

Nur Jazlan Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Pulai

Mungkin Nu Jazlan merasa tersinggung apabila PH melalui AMANAH menuntut kerajaan perpaduan dibentuk di Negeri Johor. Namun tuntutan itu dianggap relevan dan munasabah memandangkan di Selangor dan Pulau Pinang, BN turut diserap dalam pentadbiran kerajaan negeri meskipun UMNO hanya mempunyai bilangan kerusi yang rendah. Sama ada pembentukan kerajaan diadakan sebelum kerajaan perpaduan dibentuk atau selepasnya, semangat kerajaan perpaduan wajar diterjemah dalam setiap pentadbiran yang ada. Melaka telah memahat aspirasi tersebut.

Sewajarnya tuntutan itu tidak dipandang jelek mahupun negatif oleh Nur Jazlan memandangkan beliau sendiri menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara juga dibawah aspirasi kerajaan perpaduan. Lantas kenyataan Nur Jazlan kepada PKR dan AMANAH dilihat keterlaluan meskipun benar. Dari sudut apa yang benar?

Cikgu Aminolhuda Hassan, Pengerusi PH Johor

AMANAH memang parti yang tidak akan bermain poker, sedang AMANAH merupakan parti progresif Islam yang ditubuhkan untuk menjadi gerakan Islam zaman moden Malaysia. AMANAH diwujudkan khas bagi menerapkan nilai Islam sesuai dalam konteks perlembagaan Malaysia. Manakala dari sudut AMANAH tidak akan menjadi pemain utama politik Malaysia atas faktor kekuatan, usia dan komposisi kerusi yang dimiliki tidak boleh diterima sama sekali.

Sejak pemerintahan UMNO-BN menemui jalan yang kelam dan suram sejak 2008, peranan parti politik dimainkan dengan asas kerjasama. Dengan untuk menumbangkan BN, parti anti-BN perlu bekerjasama. Jika tidak, matlamat menamatkan era BN menjadi sia-sia. Sebaliknya setiap parti yang ada berperanan penting untuk kemenangan tersebut.

Sidang media BN selepas gagal membentuk kerajaan PRU ke-14

Misalnya, melalui rundingan kerusi antara PH yang baru dianggotai oleh BERSATU ketika itu dengan hati yang terbuka, melepaskan beberapa kerusi kepunyaannya kepada BERSATU untuk ditandingi demi memastikan keempat-empat parti sepakat dan melancarkan jentera mereka menuju PRU ke-14. Jika ketika itu AMANAH bersikap dominan dan tidak mahu mengalah, pastinya PH tidak akan sepakat bertempur melalui PRU yang paling penting itu dan BN kekal memerintah. Inilah satu indikator bahawa AMANAH parti yang muda, namun turut berperanan besar dalam mencorak situasi politik semasa.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sentiasa menjadi orang tengah dan pihak yang memberi laluan dalam sesuatu masalah timbul.

Keadaan dan gaya politik Malaysia hari ini jelas menujukkan bahawa setiap parti baik kecil mahupun besar, baik tua atau muda perlu bekerjasama demi sebuah kuasa dan kemenangan. UMNO sendiri terpaksa memerlukan pihak lain untuk membentuk kerajaan dalam PRU ke-15 baik diperingkat persekutuan, Negeri Pahang dan Negeri Perak. Bukankah itu jarang-jarang berlaku ketika UMNO-BN memerintah dahulu? Sedangkan UMNO merupakan antara parti tertua dan terbesar di Malaysia.

Pimpinan PH dan BN Selangor selepas kemenangan PRN Selangor

Demikian juga semasa menuju Pilihan Raya enam negeri, AMANAH parti yang didakwa hanya menumpang dalam politik Malaysia memberikan beberapa laluan kerusi kepada UMNO-BN untuk ditandingi. Jika diikutkan AMANAH boleh sahaja bertanding semua kerusi yang ditandingi semasa PRU ke-14 tanpa memberi laluan kepada UMNO, namun AMANAH melihat kepada asas kerajaan ditubuhkan malah AMANAH memegang prinsip kekuatan bersama dalam menggembleng kemenangan itu.

AMANAH rela memberikan laluan itu asalkan kerajaan perpaduan bertambah kukuh. Mengapa Nur Jazlan tidak boleh memikirkan secara bersama bahawa tuntutan AMANAH kepada kepimpinan Negeri Johor itu merupakan satu usaha memperkasakan kerajaan perpaduan.

AMANAH melalui almarhum Salahuddin Ayub terbuka memohon maaf kepada UMNO demi keutuhan kerajaan perpaduan

AMANAH satu ketika dahulu pernah memohon maaf kepada UMNO melalui Almarhum Salahuddin Ayub. Ketika itu Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad telah menyentuh isu pengampunan terhadap Najib Tun Razak. Ia melukai hati kepimpinan dan ahli UMNO, lalu Salahuddin memohon maaf kepada UMNO ketika bertemu dengan Presiden UMNO. Apa maknanya, AMANAH membawa sikap perdamaian demi keutuhan kerajaan perpaduan.

AMANAH memang tidak akan bermain poker dan AMANAH mungkin dilihat sebagai parti melukut di tepian gantang, tetapi jangan diremehkan peranan AMANAH mahupun setiap parti yang ada. Sebaliknya, dengan keadaan politik hari ini, sikap kerjasama dan toleransi dituntut bagi meneruskan legasi kemenangan tersebut. Baik semasa di zaman PH 1.0 atau kerajaan perpaduan, AMANAH sentiasa bersikap terbuka, menjadi pendamai dan yakin atas kesepakatan yang dibina, oleh itu AMANAH akan terus dilihat parti politik yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu usaha politik itu.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version