SelangorToday

AMANAH Tegas Sokong Iran, Tempelak Sikap Diam Dunia Islam

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyuarakan sokongan penuh terhadap keberanian Iran dalam menghadapi tekanan dan serangan dari rejim Zionis Israel, sambil mengecam sikap membisu negara-negara Islam lain yang lebih kaya dan maju.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah menegaskan bahawa tindakan tegas Iran membalas pencerobohan Israel bukan sahaja menunjukkan kekuatan kedaulatan negara itu, tetapi menjadi simbol harapan dan keberanian kepada umat manusia yang tertindas di seluruh dunia.

“Iran kini menjadi satu-satunya suara keberanian yang bermaruah di rantau yang ketandusan nilai kemanusiaan, meskipun dipenuhi kekayaan dan kemewahan.
Ini mungkin harapan terakhir bagi rantau ini dan seluruh umat manusia yang sedang lemas dalam gelombang kemunafikan dan ketidakpedulian,” katanya dalam ucapan pertemuan solidariti di Kedutaan Republik Islam Iran di sini, pada Selasa.

Dalam nada tegas, Raja Bahrin turut membidas negara-negara Islam lain — terutama yang berjiran dengan Palestin — kerana terus berdiam diri walaupun rakyat Palestin dibunuh dan dizalimi secara berterusan.

“Negara-negara Islam lain yang berjiran dengan Palestin terus tunduk dan berdiam diri tanpa rasa malu, membiarkan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel ke atas rakyat Palestin berterusan tanpa henti.

“Ketika negara-negara Islam yang kaya dan maju memilih untuk memalingkan muka daripada penderitaan rakyat Palestin, Iran bangkit mempertahankan keadilan, meskipun sedang berdepan sekatan ekonomi global dan tekanan kuasa besar,” ujarnya.

Pertemuan solidariti itu turut dihadiri Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid; aktivis Palestin, Tian Chua; dan Presiden Parti Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali.

Dalam perkembangan terkini, konflik memuncak antara Iran dan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa dan mencederakan lebih 370 orang. Iran bertindak balas selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas wilayahnya, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear.

AMANAH melihat ketegasan Iran sebagai satu detik penting dalam sejarah dunia, dan menyifatkan ia sebagai tamparan kepada keangkuhan Israel serta keculasan sesetengah negara Islam.

Exit mobile version