AMANAH Negeri Selangor akan memastikan, kebobrokan yang dilakukan oleh Perikatan Nasional tidak menular di Selangor, kata Pengarah Komunikasinya Abbas Adzmi. Dalam satu kenyataan selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu, beliau menegaskan pembangkang yang sentiasa memainkan isu 3R bagi memecahbelahkan masyarakat dan menggugat keharmonian tidak boleh dibiarkan bertapak di Selangor. Malah PRK Kuala Kubu Bharu ini bakal menjadi isyarat jelas daripada rakyat bahawa Selangor tidak lagi menerima politik adu domba, fitnah dan tohmahan yang dimainkan oleh PN .
Oleh itu Abbas yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata, AMANAH Selangor telah menggerakkan keseluruhan jentera partinya melibatkan semua peringkat bagi memenangkan calon HARAPAN di Kuala Kubu Bharu. Memandankan ia Pilihan Raya Kecil diadakan selepas Pilihan Raya Negeri ke-15 Ogos tahun lalu, momentum sokongan rakyat kepada kerajaan perpaduan Selangor wajar dipertahankan. AMANAH Selangor juga telah mengenalpasti kelompok sasaran dan gerak kerja seawal 3 minggu yang lepas termasuk membuka Bilik Gerakan Utama.
Justeru itu setelah masuk hari berkempen, ahli AMANAH telah pun berkampung di Kuala Kubu Bharu dan bergerak atas panduan dan gerak kerja yang telah ditaklimatkan. PRK KKB, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon HARAPAN, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. – SelangorToday