SelangorToday

AMANAH YAKIN PINDAAN ENAKMEN PENTADBIRAN ISLAM MAMPU PERKASA URUSTADBIR ISLAM DI SELANGOR

AMANAH Negeri Selangor melalui Pengarah Hal Ehwal Syariahnya, Ustaz Azrulhakim bin Suradi percaya bahawa pindaan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri yang dibentang dan diluluskan di Dewan Negeri Selangor minggu lalu akan memperkasakan kedudukan, pengurusan dan pentadbiran Islam di Selangor. Dalam satu kenyataan Biro Hal Ehwal Syariah AMANAH Selangor pagi ini, AMANAH menghargai usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Selangor yang membentangkan Rang Undang-Undang khusus untuk meminda enakmen tersebut.

Tambahan lagi, pindaan yang meliputi seksyen 75 berkenaan pengurusan perintah/tindakan bersaling bagi Mahkamah Syairah di negri-negeri, seksyen 78 berkaitan pelantikan Timbalan Pendakwa Syarie dan seksyen 118 berkenaan pengurusan pentauliahan mengajar agama Islam yang memperlihatkan pengurusan Mahkamah Syariah di perkukuh. Selain itu, pindaan tersebut juga menyentuh cadangan peruntukan baharu dalam enakmen berkenaan pengurusan halal pada Bahagian XA bermula seksyen 121A hingga 121F. Peruntukan baharu itu akan mengelakkan sebarang pertindihan kuasa antara enakmen dan juga Akta Perihal Dagangan 2011(Akta 730).

Jelas Ustaz Azrul lagi, langkah ini seiring dengan kedudukan Majlis Agama Islam Selangor(MAIS) sebagai badan yang bertanggungjawab menasihati dan membantu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkaitan dengan hal ehwal Islam. Pindaan ini membuktikan bahawa kerajaan di bawah Dato Menteri Besar Selangor menjaga dan menghormati perundangan syariah di Selangor. Tambah beliau lagi, usaha ini bukan untuk dijadikan bahan politik meskipun ia mampu menjawab tohmahan pembangkang kepada kerajaan negeri tetapi lebih utama adalah demi kepentingan dan kemakmuran Agama Islam. – SelangorToday

Exit mobile version