Kuala Lumpur, 17 Oktober 2025 — Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Parti Amanah Negara (AMANAH) meneruskan inisiatif kebajikan melalui program Ziarah Rahmah Seni Amanah Negara dengan menziarahi pelakon dan pelawak veteran tanah air, Sathiya, yang kini diuji dengan keuzuran selepas sebelah kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis dan saraf.
Menurut Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Nasional AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim, kunjungan tersebut bukan sekadar ziarah kebajikan, tetapi juga medan perbincangan mengenai keperluan insurans dan perlindungan sosial khusus bagi penggiat seni di semua peringkat — sebelum, semasa dan selepas penglibatan dalam produksi seni.
“Isu kebajikan dan keselamatan sosial bagi artis, khususnya artis veteran, amat penting dan mendesak. Mereka banyak berjasa membentuk landskap seni tanah air, dan sewajarnya terus mendapat perhatian,” katanya.
Wan Anwar turut menyambut baik kelulusan Akta Pekerja GIG 2025 yang memperluaskan perlindungan sosial kepada tenaga kerja dalam sektor seni dan budaya, termasuk pelakon dan penghibur.

Beliau menegaskan komitmen AMANAH untuk terus memperkasakan industri kreatif dan memastikan kebajikan warganya terpelihara.
“AMANAH melalui Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan akan terus menjadi jambatan antara kerajaan dan warga seni untuk memastikan setiap polisi dan akta benar-benar membawa manfaat kepada mereka,” tambahnya.
Program Ziarah Rahmah Seni Amanah Negara menjadi salah satu usaha berterusan parti dalam mendukung nilai Amanah, Progresif dan Peduli, selaras dengan semangat Politik Rahmah yang dibawa parti.