SelangorToday

AMARAN YDP AGONG, DARJAH KEBESARAN DITARIK BALIK JIKA CEMAR IMEJ NEGARA

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini memberi amaran akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima yang terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.

Seri Paduka Baginda bertitah, setiap penerima yang telah dipilih seharusnya bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku dan tidak terlibat dalam kegiatan rasuah dan sebarang kesalahan jenayah.

“Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala Darjah dan Pingat Kebesaran akan ditarik balik. Good bye to it.

“Sehubungan itu, saya telah arahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan yang ada Darjah Kebesaran, maka ia akan ditarik balik.”Hal ini hanyalah untuk Darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, darjah negeri-negeri lain saya tidak masuk campur,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.Turut berangkat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda bertitah, setiap tahun banyak pihak menaruh harapan dan berusaha untuk mendapatkan darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, malah ada juga yang terpedaya dan ditipu oleh ejen-ejen yang mengambil kesempatan. – Sinar Harian

Exit mobile version