
—fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Seorang bekas Ahli Parlimen Umno mencabar Hadi Awang mengesahkan dakwaan kononnya mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri membelakangi ketetapan Allah.
Cabaran ini menyusuli kritikan demi kritikan terhadap presiden PAS itu yang dikatakan menyalahgunakan agama dalam arena politik.
“Bolehkah dia memetik ayat al-Quran yang menyokong apa yang dia katakan?” Tawfik Ismail beritahu FMT.
Tawfik, anak kepada bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman, berkata Hadi tidak seharusnya mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.

Tawfik berkata pelaksanaan had dua penggal aspek utama tadbir urus yang baik, dan akan menggalakkan pemilihan kepimpinan yang lebih berkesan.
“Ia sebahagian daripada demokrasi. Orang ramai yang mengundi merasakan ia parameter pemerintahan yang baik untuk pemimpin.”
Bekas Ahli Parlimen Benut itu seterusnya berkata bahawa peraturan dua penggal itu akan menggalakkan parti politik mempertimbangkan calon-calon kepimpinan dengan teliti untuk jangka panjang. -FMT