Kerajaan Negeri menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada jawatankuasa khas yang ditubuh awal Oktober bagi menilai dan memulih anak-anak jagaan GISB Holdings (GISBH) hari ini.
Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan diserah kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) sebagai wakil pasukan itu bertujuan memastikan keperluan anak-anak dari aspek kebajikan, pendidikan, perundangan dan kesihatan mencukupi.
“Pastinya sumbangan ini untuk kebajikan seperti peralatan di pusat perlindungan. Kita juga akan kaji langkah jangka panjang untuk proses pemulihan mereka.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan semua keperluan dan kemudahan anak-anak ini lengkap dan sempurna selain pastikan tempat mereka selamat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media di lobi Dewan Annex di sini hari ini.
Beliau berkata ketika ini pasukan terdiri pelbagai agensi termasuk melibatkan sektor swasta membantu proses pemulihan lebih 200 kanak-kanak yang berjaya diselamatkan termasuk memberi pendidikan formal.
“Keseluruhannya ada 400 lebih kanak-kanakGISBH terlibat.Di Selangor sahaja ada 200 lebih. Selepas ini kita akan bawa pulang anak-anak-anak yang ditempatkan di negeri lain balik ke Selangor.
“Kita akan cari lokasi sesuai termasuk menggunakan aset negeri seperti pusat latihan dan universiti untuk beri tempat perlindungan kepada mereka,” katanya.
Susulan pembongkaran kegiatan menyimpang GISBH menerusi Ops Global, Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatan kuasa khas terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, polis dan pendidikan negeri bagi membuat penilaian kepada semua mangsa.
Turut terlibat JKM, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor selain agensi swasta dan bukan kerajaan. -SelangorKini