SelangorToday

ANALISIS | Bolehkah AMANAH Memecah Dominasi Politik Melayu Konservatif?

Mendepani cabaran kelansungan politik untuk 10 Tahun yang akan datang, Parti AMANAH Negara menjadi salah satu parti yang diperhatikan umum dari sudut pengekalannya dalam politik Malaysia. Dilabel sebagai parti serpihan PAS, AMANAH akan menjadi kayu ukur sejauh mana kewujudan sebuah parti melalui perpecahan parti asal mampu bertahan berdekad-dekad akan datang.

Sebagai rekod, parti serpihan yang PAS yang perlu wujud masih ada tetapi sudah tidak aktif dan bermaya. Malas BERJASA yang tertubuh akibat krisis Menteri Besar Kelantan dari PAS itu mampu berperanan penuh penting dalam percaturan politik Malaysia tidak melebihi 10 tahun pun. HAMIM pula lenyap dan lesap setelah pengasasnya Tan Sri Dato Asri Muda menyertai UMNO. Oleh itu Adakah AMANAH akan lesap dalam politik Malaysia jika Pakatan Harapan sudah tiada nanti? Apakah juga AMANAH akan lumpuh dan runtuh selepas Hj Mohamad Sabu pemimpin berpengaruh yang menerajui parti itu akan bersara kelak?

Persoalan ini wajar dipertimbangkan baik kepimpinan parti mahupun strategis parti AMANAH seiring usia parti yang menjengah sedekad. Meskipun KEADILAN berjaya mengharungi perjalanan sebagai parti serpihan UMNO sehingga berjaya dinobatkan sebagai penerajui Kerajaan MADANI. Corak dan tafsiran masyarakat kepada AMANAH dan KEADILAN jelas berbeza. Untuk itu, diyakini bahawa kepimpinan AMANAH sedarkan pertimbangan yang bakal muncul dimasa hadapan, tetapi tulisan ini mungkin memberi sedikit pandangan agar ramuan yang disusun dalam resipi pengukuhan AMANAH nanti lebih enak dan berkualiti.

Mahu tidak mahu, AMANAH yang bergerak atas jalur pemikiran Islam progresif mesti memecahkan dominasi politik melayu konservatif. Dalam konteks Malaysia, keinginan untuk menterjemah politik Islam itu mesti bersandarkan kepada sokongan yang diperoleh oleh orang melayu. Majoriti melayu adalah Islam manakala Islam itu hampir bermajoritikan rakyat melayu.

Parti AMANAH Negara menjadi pemerintah selepas 4 tahun ditubuhkan

Selain memperkasakan kefahaman dan mesej fikrah perjuangan AMANAH kepada masyarakat, AMANAH perlu melihat semula kemungkin untuk memilih dan membina sebuah pangkalan yang dipacu secara jitu dan mantap. AMANAH boleh memilih salah sebuah negeri di Malaysia untuk dijadikan pangkalan utama demi AMANAH menguasainya kelak. Pemilihan sebuah negeri sebagai pangkalan utama ini boleh menjadikan segala kekuatan dan kepakaran dalam parti disalurkan untuk menawan negeri tersebut. AMANAH perlu mengukuhkan jentera akar umbinya di negeri pangkalan tersebut semaksima mungkin. Mungkin strategi ini dilihat sedikit terkebelakang berbanding kedudukan semasa yang AMANAH sedang nikmati hari ini. Namun begitu, langkah ini dilihat sebagai usaha berfokus dari AMANAH bagi memastikan AMANAH masih mempunyai sokongan serta jumlah kerusi yang berbaloi untuk dicapai dalam PRU-PRU akan datang.

Bukan bererti AMANAH perlu mengabaikan pengukuhan dan sokongan yang ada dikawasan yang AMANAH telah kukuh dan kuasai sekarang, ia boleh diteruskan mengikut status sedia ada. Pun begitu, tumpuan kepada pangkalan utama di satu negeri ini merupakan projek khas AMANAH dengan meletakkan sasaran untuk menawan negeri tersebut atas jumlah kerusi yang berbaloi dalam tempoh jangka waktu yang ditetapkan. Usaha ini boleh membuka ruang kepada AMANAH untuk mengukuhkan kekuatan sendiri secara maksimum. Baik AMANAH kelak berdiri bersama PH atau dengan corak politik baru puluhan tahun akan datang, sekurang-kurangnya AMANAH telah mempunyai kekuatan asas diperingkat akar umbi.

Pengukuhan parti bukan hanya terletak kepada idealisme parti sahaja, ia bergantung juga kepada penguasaan ahli.

Mungkin dengan cara menguasai sokongan pengundi melayu konservatif secara total, perjalanannya masih panjang buat AMANAH atas faktor usia AMANAH yang masih muda berbanding UMNO dan PAS. Sebaliknya apabila AMANAH memberi tumpuan kepada satu-satu ruang khususnya mengukuhkan sokongan melayu konservatif kepada di negeri pangkalan utama itu. AMANAH boleh menterjemahkan gaya politik yang diperjuangkan sebagai pembangkang di negeri pangkalan tersebut. Apabila ditakdirkan menerajui kerajaan negeri pula, AMANAH mampu membawa aspirasi pentadbiran negeri bercorakkan fikrah AMANAH.

Pemilihan pangkalan utama ini akan menjadi role model yang AMANAH canang dan perjuangkan supaya rakyat dapat melihat seterusnya memahami aspirasi Islam yang AMANAH bawa dalam berpentadbiran dan kehidupan. Sebenarnya AMANAH  mempunyai peluang tersebut pasca PRU 2018 apabila Adly Zahari ADN Bukit Katil dari AMANAH diberi tanggungjawab mengetuai kerajaan PH di Melaka. Dalam tempoh 22 bulan tersebut, meskipun AMANAH mempunyai dua sahaja ADUN dan disokong oleh ADUN KEADILAN(3), DAP(8) dan BERSATU(2 ), tetapi AMANAH berjaya membawa gagasan-gagasan baru dalam pentadbiran negeri Melaka sehingga sosok Adly ini menjadi perhatian umum.

Adly Zahari satu-satunya pemimpin AMANAH yang pernah diamanahkan menerajui kerajaan

Seiring dengan itu, strategi yang sedang dipakai oleh AMANAH atas kerjasama erat dalam PH itu wajar dipertahankan dalam konteks semasa. Bagaimana pun usaha AMANAH untuk mengukuhkan sokongan akar umbinya mesti terus berjalan. Tekad untuk memecahkan dominasi sokongan melayu konservatif kepada AMANAH harus sentiasa membara. Buat masa ini AMANAH mempunyai kekuatan di tempat-tempat tertentu baik di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Jika dipilih sebuah negeri sebagai pangkalan utama dengan sasaran melipatkan gandakan jumlah kerusi untuk ditandingi serta dimenangi, secara tidak langsung AMANAH terus menguat dan penting dalam politik semasa.

Dr Syed Azman mempunyai kepakaran & pengalaman membantu AMANAH di Pantai timur

Selain itu, pengaruh dan wibawa tokoh-tokoh politik generasi awal penubuhan AMANAH atau mantan pemimpin utama PAS wajar diberikan tempat untuk mengukuhkan sokongan kepada pengundi melayu konservatif. Contohnya karisma yang ada kepada Dr Syed Azman Syed Nawawi sebagai bekas Setiausaha Politik Presiden PAS, mantan pensyarah Sains Politik serta bekas wakil rakyat bersinar di Terengganu boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh AMANAH Terengganu untuk melebarkan pengukuhan akar umbi di sana. Mungkin sebagai penasihat, Dr Syed Azman yang arif akan selok belok strategi PAS dan citra melayu pantai timur boleh membantu memberi arah tuju dan panduan kepada AMANAH Terengganu yang kini disuntik oleh semangat muda dan segar. Maka ini salah satu ikhtiar yang boleh dilakukan oleh AMANAH demi memecahkan dominasi kerusi AMANAH di Terengganu.  

AMANAH akan berusaha untuk menguasai pengundi melayu konservatif melalui pelbagai langkah. Oleh itu pandangan ini boleh dinilai untuk dilaksanakan. Kelangsungan AMANAH menjadi sangat penting kepada umat Islam di Malaysia agar boleh dipertimbangkan pilihan corak Islam yang sepatutnya tertegak di Malaysia.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version